3 bungkusan 'spare parts' kenderaan rupanya dadah bernilai RM2 juta

Pun Sian (tengah) menunjukkan dadah jenis Metamphetamine yang diikrar sebagai 'spare parts' kenderaan berjaya dirampas pihak JKDM di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.
Pun Sian (tengah) menunjukkan dadah jenis Metamphetamine yang diikrar sebagai 'spare parts' kenderaan berjaya dirampas pihak JKDM di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.
A
A
A

SEPANG - Helah menyatakan penghantaran bungkusan sebagai 'spare parts' kenderaan dan menyembunyikan dadah berbahaya dalam paket plastik teh dengan tulisan Mandarin gagal mengaburi mata pihak berkuasa negara.

Cubaan menyeludup dadah hampir RM2 juta oleh pihak sindiket berjaya dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit III (LTAKL) pada 5 September lalu jam 2.35 petang di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas tiga bungkusan yang diikrar sebagai 'spare parts' kenderaan dan menemukan lebih kurang 60 bungkusan plastik berwarna hijau dengan tulisan Refined Chinese Tea dan terdapat juga tulisan dalam bahasa Mandarin.

Menurutnya, bungkusan tersebut mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis Metamphetamine dengan anggaran berat sebanyak 61 kilogram dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM2 juta.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati destinasi akhir ketiga-tiga bungkusan berkenaan adalah Kota Kinabalu, Sabah.

"Modus operandi sindiket menggunakan helah ini adalah bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

"Usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan oleh JKDM," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, rampasan itu berjaya membanteras daripada diedarkan kepada hampir 305,000 orang penagih dadah.

Artikel Berkaitan:

Dadah jenis Metamphetamine yang diikrar sebagai 'spare parts' kenderaan berjaya dirampas pihak JKDM di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.
Dadah jenis Metamphetamine yang diikrar sebagai 'spare parts' kenderaan berjaya dirampas pihak JKDM di Terminal Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.

Pun Sian berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah serta kenderaan.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"JKDM menyeru kepada orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri," ujarnya.

Tegas beliau, pihak JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!