Cara ampuh benteng diri daripada iblis dan syaitan
JIKA golongan yang tinggi ilmunya pun boleh terjerat dengan tipu daya iblis, inikan pula kita insan biasa.
Oleh sebab itu, pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah mengingatkan peri pentingnya ilmu yang cukup dan benar berlandaskan al-Quran serta hadis sebagai benteng diri sekali gus terhindar daripada helah syaitan berkenaan.
“Kita kena tahu bahawa iblis dan syaitan boleh menyusup masuk melalui pelbagai pintu. Antaranya pintu kejahilan, hasad dengki, kemarahan, kesombongan, tamak haloba dan seumpamanya.
“Pendek kata, semua sifat mazmumah merupakan ‘pintu’ untuk makhluk ALLAH yang dilaknat itu memalingkan manusia daripada jalan yang benar,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Bagaimanapun, andai seseorang itu kuat imannya, maka ia dapat membentengi dirinya daripada godaan mahupun bisikan syaitan.
Sekalipun iblis tidak berjaya menghasut manusia ke lembah kehancuran, jelas Ustaz Mohammad Hadi yang juga pengamal perubatan Islam, makhluk berkenaan tidak pernah berputus asa.
“Mungkin syaitan tidak berjaya menggoda (orang yang berilmu atau alim) kerana imannya yang kuat, ilmunya, kewarakan mahupun ketakwaannya, tetapi makhluk itu akan cari ‘jalan’.
“Umpamanya, menggunakan kelemahan dan kekurangan seseorang supaya orang itu dapat mengikut jejak langkahnya. Misalnya, jika harta menjadi punca kelemahan seseorang, maka ia akan hasut individu berkenaan hingga terpedaya dengan belitannya.
“Begitu juga dengan kelemahan lelaki terhadap wanita. Kekurangan itu akan dijadikan umpan untuk menyesatkan umat manusia sehingga mereka terjerat dengan perangkap dibuat,” ungkapnya.
Benarkah iblis boleh memasuki badan manusia menerusi aliran darah?
Menjawab persoalan itu, Ustaz Mohamad Hadi lantas mengiyakannya sebagaimana disebutkan dalam hadis masyhur Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.
Bukan itu sahaja, gangguan ataupun rasukan syaitan itu memang benar-benar wujud sebagaimana diakui dalam al-Quran menerusi Surah al-Baqarah, ayat 275.
“Ia (syaitan dan iblis) boleh masuk dalam jumlah yang ramai. Itulah yang dikatakan sejenis gangguan dalaman.
“Seperkara lagi, setiap daripada kita ada qarin (pendamping) masing-masing yang mana ia duduk di luar. Qarin itu mengajak manusia kepada dosa dan bisikan jahat.
“Cuma dalam konteks jin atau syaitan yang masuk dalam badan untuk mengganggu manusia, ia boleh menyebabkan seseorang itu sakit atau menjadi tidak bersemangat, tidak boleh tidur dan seumpamanya. Maknanya, ia satu bentuk gangguan ‘singgah’, saka ataupun sihir,” jelasnya.
Disebabkan itu, Ustaz Mohamad Hadi mengingatkan agar kita tidak mengabaikan anjuran Islam seperti menutup mulut ketika menguap bagi menghindari diri daripada syaitan-syaitan yang berada di sekeliling daripada masuk ke dalam tubuh.
Zikrullah amalan ampuh
Agamawan itu kemudian berkongsikan amalan ampuh sebagai pendinding diri daripada belitan iblis. Caranya adalah dengan berzikrullah.
Ketahuilah bahawa ia bukan sekadar mengungkapkan lafaz mulia pada bibir, sebaliknya zikrullah mempunyai pelbagai jenis, ungkapnya.
“Selain membasahkan lidah mengingati ALLAH, ia juga termasuklah duduk dalam majlis ilmu dan memperbanyakkan solat-solat sunat.
“Termasuk kategori zikrullah adalah melakukan amal-amal ketaatan. Semua itu akan membentengi diri daripada gangguan syaitan kerana di situlah akan bertambahnya iman kita.
“Ia akan menyebabkan keimanan kita sukar digugat kerana kepatuhan kita kepada ALLAH SWT dan menjauhi segala larangan-NYA,” terangnya panjang lebar.
Kepada satu soalan, Ustaz Mohamad Hadi menjawab: “Iblis dan syaitan boleh mengganggu kita setiap masa waima saat kita berjaga mahupun ketika tidur.
“Sebab itulah kita kena membaca zikrullah sebelum melelapkan mata kerana ALLAH SWT akan mengutuskan satu malaikat dan satu syaitan bila kita hendak tidur.
“Bila mana kita berzikir, maka malaikat akan duduk dengan kita waktu tidur. Bagaimanapun, jika kita tidak berzikir waktu tidur, maka syaitan yang akan menemani kita. Zikrullah itu sebenarnya satu pencegahan syaitan.”
“Sama juga halnya seperti kita berwuduk sebelum tidur, maka malaikat akan ‘tidur’ bersama-sama dan menjaga kita. Bahkan, setiap kali bergerak, malaikat akan mendoakan kita supaya dapat pengampunan dan rahmat daripada ALLAH.”
Kepada mereka yang diganggu syaitan tidak kiralah sama ada ketika mendirikan solat atau melakukan perkara kebaikan, penceramah itu mengingatkan agar kita memohon perlindungan daripada ALLAH SWT dengan menyebut A’uzubillahi minasy syaitanir rajim.
“Kemudian ludah ke kiri sebanyak tiga kali. Maksud ludah di sini adalah yang tidak mengeluarkan air liur,” katanya.
Ia sebagaimana disebutkan Rasulullah SAW ketika sahabat, Uthman Ibn Abi al-’As RA datang mengadu bahawa syaitan mengganggunya ketika solat sehingga bacaannya terganggu.
Baginda SAW bersabda: “Itulah syaitan yang disebut Khinzib. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada ALLAH. Aku pun melakukan hal itu dan ALLAH menghilangkan gangguan itu daripadaku.” (Hadis Riwayat Muslim)
ANEKDOT
Misi iblis sesatkan manusia
1. Mengkafirkan manusia atau mensyirikkan mereka.
2. Mengajak manusia melakukan dosa-dosa besar.
3. Menyeru melakukan dosa-dosa kecil.
4. Menyibukkan kita dengan perkara yang sia-sia. Mudah kata, perkara tidak mendatangkan pahala dan dosa.
5. Menyibukkan manusia dengan melakukan amalan yang kurang afdal.
6. Menghasut pasangan suami isteri bercerai-berai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!