Produk tempatan meriahkan festival

Pengunjung membawa anak-anak dan keluarga berkunjung ke Festival Kebudayaan Putrajaya 2023.
Pengunjung membawa anak-anak dan keluarga berkunjung ke Festival Kebudayaan Putrajaya 2023.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperkenalkan produk tempatan dan makanan warisan bagi memeriahkan Festival Kebudayaan Putrajaya 2023.

Acara tersebut berlangsung bermula pada 28 September hingga 1 Oktober ini bertempat di Presint 3, Dataran Putrajaya.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pengurus Acara (MOTAC), Saifulkhairi Ahmad berkata, sebanyak 80 vendor kopi jenama tempatan membuka reruai bagi memperkenalkan produk masing-masing.

Menurutnya, festival tersebut turut menampilkan perkhidmatan daripada pelbagai agensi di bawah MOTAC seperti Istana Budaya, Jabatan Kebudayaan Seni Negara, Balai Seni Negara, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Pengunjung bermain permainan congkak di reruai Kementerian Belia dan Sukan ketika Festival Kebudayaan Putrajaya 2023 pada Khamis. FOTO: ROSLI TALIB
Pengunjung bermain permainan congkak di reruai Kementerian Belia dan Sukan ketika Festival Kebudayaan Putrajaya 2023 pada Khamis. FOTO: ROSLI TALIB

Ujarnya, orang ramai boleh menonton demonstrasi makanan warisan dan mencuba setiap hidangan daripada pelbagai kaum dan negeri di Malaysia.

“Pengunjung boleh menonton pelbagai acara kesenian seperti dikir barat yang dibawa khas dari Kelantan, seni batik, peralatan muzik tradisional dan juga permainan tradisional.

“Kepada penggemar kopi, festival kali ini kita bawakan Putrajaya Coffee Republic dengan kerjasama rakan strategik kami iaitu Perbadanan Putrajaya yang menampilkan lebih 80 usahawan kopi tempatan.

Artikel Berkaitan:

“Kita turut adakan demonstrasi makanan warisan oleh pengusaha makanan yang sememangnya lebih arif tentang proses pembuatan hidangan tradisional,” katanya kepada Sinar Harian di Pusat Media Dataran Putrajaya pada Khamis.

Mengulas lanjut, menurut Saifulkhairi, terdapat juga beberapa agensi dan kementerian membuka reruai untuk pengunjung melakukan pelbagai aktiviti yang disediakan.

Antaranya permainan tradisional, pameran manuskrip Melayu, mencuba alat muzik tradisional, tekstil dan pemeriksaan kesihatan.

Pengunjung mencuba permainan Dam Haji ketika Fesival Kebudayaan Putrajaya 2023.
Pengunjung mencuba permainan Dam Haji ketika Fesival Kebudayaan Putrajaya 2023.

“Semua aktiviti yang ditampilkan cukup menarik dan kami menjangkakan kehadiran seramai 20,000 pengunjung selama empat hari ini.

“Kami mengharapkan orang ramai datang dan bersama-sama memeriahkan acara ini supaya dapat melihat kepelbagaian seni serta budaya di negara kita," jelasnya.

Sementara itu, pengunjung Nuryusra Zulhilmi, 27, berkata, acara tersebut cukup menarik dengan menampilkan pelbagai jenis produk tempatan.

Menurut Penganalisis Data itu, orang ramai digalakkan untuk hadir sebagai tanda menyokong produk tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!