Perang dagang AS-China tak jejas ekonomi Malaysia
KUALA LUMPUR - Perang perdagangan Amerika Syarikat dan China tidak dianggap sebagai masalah yang akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebaliknya negara perlu mengambil peluang itu untuk meningkatkan potensi pelaburan luar.
"Saya tidak melihat perang perdagangan China dan Amerika Syarikat sebagai satu masalah. Sewajarnya kita mesti berupaya untuk merubah masalah itu menjadi peluang kepada negara kita.
"Kita harus ingat pasaran di Asean sangat besar di mana ada 650 juta penduduk. Kalau kita dapat ambil kesempatan ini dan yakinkan pelabur asing untuk menggunakan Malaysia sebagai pintu bagi menembusi pasaran Asean, maka kita ada peluang yang cukup besar," katanya ketika ditemui di majlis iftar anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan agensi antarabangsa, Reuters bahawa kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka perlahan pada suku pertama.
Jangkaan itu dibuat berikutan pengurangan penggunaan dan permintaan global yang perlahan susulan perang perdagangan Amerika Syarikat-China.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Malaysia kini menjadi pilihan untuk syarikat-syarikat antarabangsa yang sedang mencari lokasi baharu di rantau ini.
"Malaysia mempunyai potensi yang baik untuk pelaburan kerana kita bukan saja ada infrastruktur yang baik.
"Malah, kita ada tenaga kerja yang mahir dan boleh diberikan peluang pekerjaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!