[VIDEO] 'Saya fokus PRK Pelangai, bukan khabar angin' - Wan Rosdy
BENTONG - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan beliau tidak melayan sebarang khabar angin mendakwa beliau akan menyertai Kabinet tidak lama lagi.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu mahu bersama jentera Barisan Nasional (BN) untuk memberi fokus bagi memastikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini berpihak kepada parti mereka.
"Nama terpanggil? Saya anggap itu khabar angin tidak sahih. Saya tidak fikir sangat (mengenai nama tersenarai dalam Kabinet). Orang hendak tulis apa tulis la, (tapi) saya tahu ia (adalah) untuk ambil perhatian pembaca. PM (Perdana Menteri) pun sudah kata sedang mempertimbangkan (rombakan Kabinet).
"Jadi, sekarang fokus kepada PRk Pelangai, saya tidak tahu apa tujuan mereka keluar kenyataan itu (dakwaan portfolio baharu dalam Kabinet) kerana kita sedang menghadapi PRK," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelangai, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai namanya antara yang disenaraikan sekiranya rombakan Kabinet dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Sebelum itu, sebuah akhbar melaporkan spekulasi bahawa nama Wan Rosdy antara yang tersenarai dalam portfolio dalam Kabinet yang dikatakan akan dirompak selepas PRK Pelangai.
Pengerusi BN Pahang itu memaklumkan UMNO mahu calon, Datuk Amizar Abu Adam menang dan menggantikan penyandang, Datuk Seri Johari Harun yang meninggal dunia pada 17 Ogos lalu.
Wan Rosdy bagaimanapun berharap pengundi dapat memilih calon BN dan UMNO.
"Pengundi (perlu) buat keputusan tepat, jangan fikir banyak, kita hendak teruskan usaha pembangunan untuk penduduk di Pelangai ini," katanya.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Johari dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober sebagai hari pengundian bagi DUN tersebut.
Pilihan raya kali ini menyaksikan Amizar dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasmi.
Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!