PRK Pelangai: 'Kita hadapi masalah kehadiran luar biasa polis' - Takiyuddin
KUALA LUMPUR - Pas mendakwa kehadiran luar biasa pihak berkuasa dalam pelbagai aktiviti kempen dianjurkan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokongnya.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu juga boleh memberi gambaran tidak sihat kepada amalan demokrasi negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa agensi kerajaan itu bersikap lebih rasional dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan rakyat.
"Saya berada banyak hari di DUN Pelangai. Satu isu yang kita hendak bangkitkan untuk perhatian kerajaan ialah kita menghadapi masalah kehadiran luar biasa anggota polis dengan kereta perondanya, cawangan khas dan sebagainya hingga menimbulkan keresahan.
"Kehadiran terlalu kerap kereta peronda di markas-markas operasi terutamanya milik Perikatan Nasional (PN) dengan alasan untuk mendapatkan maklumat kekuatan petugas dan gerak kerja. Bagi saya perkara ini tidak ada kaitan dengan polis.
"Saya bekas menteri undang-undang dan kita pernah menjadi kerajaan tetapi kita tidak pernah minta polis buat tindakan yang tidak perlu," katanya ketika sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Agung Pas di sini pada Jumaat.
Tambah Takiyuddin, sebagai parti politik berdaftar, pihak berkuasa tidak perlu membuat tindakan yang tidak sewajarnya termasuk membuat pemeriksaan terlalu kerap.
"Kita ada pejabat yang berdaftar sebagai marks operasi kita. Tidak perlu pergi menimbulkan ketakutan kepada orang ramai. Ini tidak bagus dalam sudut amalan demokrasi," katanya.
Menurutnya, beliau secara peribadi akan membangkitkan perkara itu dalam sidang Dewan Rakyat pada sesi akan datang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari mengundi bagi PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober, manakala 3 Oktober sebagai tarikh pengundian awal.
Kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
PRK DUN Pelangai menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, calon PN Kasim Samat dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!