Penantian berakhir, Weemaes ungguli Peringkat 7 LTdL 2023

Weemaes meraikan kejayaannya menjuarai Peringkat 7 LTdL 2023 dari Muar ke Seremban 2 sebentar tadi.
Weemaes meraikan kejayaannya menjuarai Peringkat 7 LTdL 2023 dari Muar ke Seremban 2 sebentar tadi.
A
A
A

PELUMBA Human Powered Health, Sasha Weemaes akhirnya berjaya menamatkan penantiannya menjejakkan kaki di podium utama apabila menjuarai Peringkat 7 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 sebentar tadi.

Pada perlumbaan sejauh 123.8 kilometer (km) dari Muar, Johor ke Seremban 2, Negeri Sembilan itu, Weemaes yang membuat penampilan sulung di pentas LTdL, merekodkan catatan 2 jam 31 minit dan 45 saat (s).

Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn menduduki tempat kedua, manakala Gleb Syritsa daripada Astana Qazaqstan Team di podium ketiga dengan catatan masa sama.

"Saya cukup gembira dengan kemenangan hari ini. Kami tidak pernah berputus ada dalam memburu kemenangan... saya bangga dengan rakan-rakan sepasukan.

"Kami bekerja keras sejak Peringkat 1 lagi dan hari ini segala usaha kami membuahkan hasil. Sekali lagi, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka," katanya selepas perlumbaan.

Terdahulu, Weemaes terpaksa berpuas hati menduduki tangga kedua pada Peringkat 6 dari Karak ke Melaka dan Peringkat 1 (Kerteh ke Kuala Terengganu).

Pada Peringkat 4 dari Bukit Mertajam ke Meru Raya, Ipoh, pelumba kelahiran Belgium berusia 25 tahun itu mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga.

Sementara itu, pelumba EF Education-EasyPost, Simon Carr meneruskan penguasaannya selaku pendahulu keseluruhan apabila kekal menyarung Jersi Hijau dengan catatan 26:05:14s.

Artikel Berkaitan:

Dengan berbaki satu peringkat, Carr hampir pasti bergelar juara edisi ke-27 tahun ini apabila meninggalkan pencabar terdekatnya yang juga rakan sepasukannya, Alexander Jefferson Cepeda Ortiz dengan kelebihan 49s.

De Kleijn yang digelar Little Gorilla pula mengekalkan Jersi Jingga (Raja Pecut) apabila mengumpul keseluruhan 63 mata, Weemaes (48 mata) dan Syritsa (43 mata).

Rakan sepasukan De Kleijn, Simon Pellaud kekal menyarung Jersi Polka Dot (Raja Bukit) dengan kutipan 32 mata, diikuti Carr (20 mata) dan pelumba Equipo Kern Pharma, Pablo Castrillo Zapater (13 mata).

Pelumba Astana, Vadim Pronskiy masih memiliki Jersi Putih (Terbaik Asia) apabila merekodkan masa keseluruhan 26:06:29s, diekori rapat pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar (26:08:33s).

Muhammad Nur Aiman Rosli sekali lagi mencuri tumpuan muncul pelumba terbaik Malaysia pada Peringkat 7 itu apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-18.

Pada Khamis, Nur Aiman tampil bergaya apabila turut muncul pelumba terbaik Malaysia selepas menamatkan Peringkat 6 dari Karak ke Melaka di tempat ke-16.

Peringkat 8 yang juga peringkat terakhir yang berlangsung pada Sabtu bakal membabitkan jarak perlumbaan sejauh 156.6km dari Setia Alam, Selangor menuju ke penamat di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!