Rombakan Kabinet: 'Itu kena tanya Perdana Menteri', kata Mat Sabu

Mohamad
Mohamad
A
A
A

PASIR SALAK - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu enggan memberi ulasan berhubung spekulasi rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Bagi beliau, perkara itu adalah di bawah kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Itu kena tanya Perdana Menteri," katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Ladang Kekal Pengeluaran Benih Padi Felcra di Seberang Perak dekat sini pada Jumaat.

Anwar dilapor tidak menolak kemungkinan akan membincangkan mengenai rombakan Kabinet ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Jumaat.

Bagaimanapun, dijelaskan bahawa rombakan Kabinet ketika ini tidak terlalu mendesak kerana hanya terdapat satu kekosongan jawatan menteri yang perlu diisi iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang disandang Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.

Sinar Harian sebelum ini mendedahkan, rombakan kecil Kabinet Kerajaan Perpaduan dijangka berlaku selepas pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober depan dengan meneliti prestasi calon gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRK itu.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, peruntukan bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan ditambah dalam pembentangan Belanjawan 2024 Oktober ini.

Tanpa memperincikan tambahan berkenaan, beliau berkata, jaminan itu telah diberikan Menteri Kewangan.

Artikel Berkaitan:

"Bajet untuk kementerian ditambah, cuma saya tak boleh umum lagilah, tunggu Menteri Kewangan, saya tak boleh mendahului," katanya.

Dalam Belanjawan 2023, KPKM menerima peruntukan RM5. 39 bilion iaitu peningkatan 12.06 peratus berbanding RM4. 81 bilion tahun sebelumnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!