TH catat 9 juta pendeposit, tabungan lebih RM89 bilion
SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan hampir sembilan juta pendeposit dengan jumlah tabungan melebihi RM89 billion, antara tertinggi sejak penubuhannya 60 tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, lebih membanggakan apabila lebih 45 peratus daripada keseluruhan 18 juta umat Islam di Malaysia telah membuka akaun TH setakat Ogos lalu.
"Pada awal operasinya, TH hanya mempunyai seramai 1,281 pendeposit dengan tabungan sebanyak RM46,610 dan mensasarkan lebih 50 peratus umat Islam memiliki akaun dengan TH pada penghujung 2024.
"Pencapaian membanggakan ini adalah atas keizinan ALLAH SWT serta kerja keras semua warga kerja dan pengurusan TH selain sokongan pendeposit dan jemaah haji.
"Ia perlu dijadikan semangat dan iltizam untuk terus bekerja dengan sepenuh hati, menjaga tata kelola, nilai integriti serta penuh amanah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, TH telah melancarkan Pelan Transformasi Strategik (HIJRAH24) sebagai usaha memelihara mandat rakyat Malaysia.
Oleh itu, beliau yakin warga kerja agensi berkenaan akan bekerja keras untuk meneruskan tanggungjawab itu agar kekal relevan sebagai pengurus dan pentadbir dana haji umat Islam agar kekal relevan untuk tahun mendatang.
"Setelah melalui pelbagai evolusi, TH hari ini telah berjaya berkembang pesat dan merupakan institusi Islam berpengalaman luas dalam pengurusan haji dan pentadbiran dana patuh syariah yang menjadi inspirasi kepada negara Islam lain.
"Pencapaian yang dirakamkan TH selama 60 tahun ini amat membanggakan dan saya pasti akan lebih banyak kejayaan akan dilakar untuk 60 tahun seterusnya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!