Lelaki bunuh 23 penghuni tahfiz fail rayuan terakhir

Tragedi kebakaran menyayat hati yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang menyebabkan 23 orang terbunuh.
Tragedi kebakaran menyayat hati yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang menyebabkan 23 orang terbunuh.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki berusia 22 tahun dipenjara selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong, berhubung kematian 23 penghuni tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, enam tahun lalu, memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan, di sini pada Khamis minggu lalu.

Peguam, Haijan Omar yang mewakili remaja itu berkata, notis rayuan tersebut telah difailkan pada 21 September lalu namun pihak mahkamah belum menetapkan tarikh pengurusan kes tersebut.

"Ya rayuan (keputusan Mahkamah Rayuan) telah difailkan untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara tersebut," katanya selepas dihubungi media, pada Jumaat.

Pada 11 September lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara terhadap pemuda itu selepas tiga panel hakim mendapati, tiada sebab untuk mengusik keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati dia bersalah atas 23 pertuduhan berkenaan.

Sementara, seorang lagi rakannya yang juga berusia 22 tahun, kekal dilepas dan dibebaskan atas tuduhan sama.

Mengikut pertuduhan kedua-dua pemuda (ketika kejadian berusia 16 tahun), didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara jam 4.15 hingga 6.45 pagi, 14 September 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati.

Pada 28 Januari 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan pemuda pertama itu membela diri manakala melepas dan membebaskan pemuda kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 17 Ogos 2020, hakim sama mendapati pemuda pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama diperkenankan Agong kerana dia merupakan pesalah kanak-kanak.

Mahkamah tinggi mengguna pakai Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana seksyen itu menyatakan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah 18 tahun, namun pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh masa berkenaan.