“Satu kampung pergi umrah, balik Malaysia masjid tak datang” - Ustaz Mokhtar
“SATU kampung pergi umrah, balik Malaysia masjid pun tak datang”.
Demikian luahan pendakwah, Ustaz Mokhtar Yaakob yang agak kecewa berikutan terdapat sesetengah individu tidak mempratikkan ibadah yang mereka lakukan ketika di Mekah.
Ujarnya, sekarang ini trend pergi umrah, habis sekampung pergi umrah masjid tak datang. Ada benda tak kena.
“Balik umrah bercerita ‘seronoknya sembahyang jemaah‘ tapi 12 hari di sana itu sahajakah mereka berjemaah?
“Dalam pada itu, ada juga yang sanggup bangun awal pagi untuk menunaikan solat jemaah di sana.
“Bagaimanapun, lain pula keadaannya ketika berada di tanah air, mereka dilihat jarang sekali mengimarahkan masjid ketika waktu solat.
“Masa duduk sana, awal-awal pagi pukul tiga dah pergi sembahyang subuh siap ketuk pintu mutawwif.
“Tapi bila naik atas kapal terbang, Ustaz minta niat sembahyang jamak ada yang kata nak qada solat.
“Itu baru atas kapal terbang belum sampai kampung lagi, tak peliklah kalau dekat masjid tak ada jemaah,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet bersetuju dengan teguran tersebut malah mereka mendakwa terdapat segelintir individu yang ke Mekah hanya untuk makan angin.
Letak target untuk berubah selepas balik umrah
Alangkah ruginya kita jika umrah yang dikerjakan tidak meninggalkan kesan yang berkekalan seumur hidup 'lifelong-lasting-effect' dalam diri.
Sepatutnya, apabila kita mendapat sahaja peluang mengerjakan umrah, dari awal kita perlu ada satu target perubahan yang ingin dicapai untuk diri sendiri.
Demikian seperti dikongsi laman umrah ellezada.com mengenai sikap segelintir orang yang memandang remeh selepas pulang mengerjakan umrah atau haji.
Kongsi laman berkenaan, sama seperti pada bulan Ramadan, jika boleh, sebaiknya kita ingin perubahan yang kekal selepas pulang dari umrah.
“Begitu ramai yang rajin bangun tahajjud setiap malam, membaca al-Quran pada setiap masa, solat berjemaah di masjid setiap waktu tetapi pulang dan kembali kepada diri asal mereka, subuh gajah, al-Quran sekadar hiasan, dan masjid di kawasan rumah sendiri pun tidak dijejaki.
Berikut merupakan beberapa cadangan untuk mengekalkan perubahan dalam rutin harian selepas pulang dari umrah:
1)Pilih beberapa surah pilihan yang ingin dibaca setiap hari.
2) Lazimi zikir dan istighfar (Astaghfirullah 100 kali, Alhamdulillah 100 kali, Allahu Akbar 100 kali, Laa ilaha illallah 1000 kali).
3) Menutup aurat dengan sempurna.
Saat menerima jemputan dari ALLAH ke tanah suci, pasanglah niat dan target, apa yang kita hendak capai ketika berada di sana.
Sesungguhnya, ALLAH menyukai perubahan yang kecil asalkan kita mampu untuk istiqamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!