Perkasa Skuad Waja, tangani keganasan terhadap wanita - Nancy
KUCHING - Ketua-ketua masyarakat dan kaum turut dilibatkan dalam Skuad Wanita Anti Jenayah (Waja) bagi meningkatkan lagi kesedaran awam tentang keganasan terhadap wanita.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penglibatan pemimpin akar umbi ini akan dapat memperkasakan lagi skuad berkenaan, yang turut dianggotai badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, skuad yang diperkasakan ini akan menambah keberkesanan usaha bagi membanteras jenayah keganasan terhadap wanita, apabila pembabitan pemimpin ini dapat mewujudkan ‘withdrawal symptom’ dalam kalangan pelaku.
Katanya, ketua masyarakat dan ketua kaum sering dirujuk dalam kes-kes pertelingkahan keluarga, yang sekali gus memerlukan mereka turut dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dalam menangani isu keganasan terhadap wanita.
"Adalah penting untuk kita beri panduan kepada ketua masyarakat, agar mereka dapat dirujuk (kes-kes jenayah terhadap wanita) dan kali ini kita buat ‘buku panduan’ yang dilengkapi dengan nombor-nombor telefon penting bagi menangani kes-kes tertentu melibatkan masyarakat di bawah bidang kuasa mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Skuad Waja 2023 Negeri Sarawak di sini pada Jumaat.
Nancy berkata, berdasarkan statistik polis 5,260 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan pada 2020 dan meningkat kepada 7,468 kes pada tahun berikutnya, manakala bagi tahun ini sehingga Ogos lepas, 3,640 kes telah dicatatkan.
Bagi tempoh antara 2020 dan Ogos lepas, Sarawak mencatatkan kes keganasan rumah tangga ketiga tertinggi selepas Selangor dan Kedah dengan catatan 2,192 kes, namun beliau berkata angka berkenaan mungkin tidak menggambarkan keadaan sebenarnya.
"Sarawak ini luas, bagaimanapun dari segi jumlah penduduk, angkanya tidak besar. Dari segi akses untuk pergi buat laporan agak kurang. Maka mungkin itu juga (angka itu) tidak menunjukkan data sebenarnya,” katanya.
Menurutnya atas faktor ini jugalah kementeriannya mahu melibatkan ketua-ketua masyarakat dan kaum dalam menangani keganasan rumah tangga khususnya dalam kawasan mereka. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!