Wanita hilang dalam kebakaran tiga rumah di Pulau Ketam
KLANG - Seorang wanita hilang dalam kebakaran melibatkan tiga buah rumah dan dua tempat pemunggahan ikan di Bagan Teo Chew, Pulau Ketam di sini, pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mangsa yang berumur 49 tahun dipercayai berada dalam salah sebuah rumah yang terbakar ketika kejadian.
"Kebakaran dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari melibatkan tiga rumah dan turut memusnahkan dua tempat pemunggahan ikan.
"Operasi pemadaman dijalankan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Kota Raja, Andalas dan Pasukan Bomba Sukarelawan Pulau Ketam," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira jam 2.30 petang.
"Bagaimanapun, siasatan awal dijalankan mendapati terdapat seorang mangsa yang merupakan wanita warga tempatan dipercayai hilang ketika kejadian.
"Usaha mencari dan menyelamat mangsa terlibat sedang giat dijalankan, dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!