PEKTAP sumbang RM6,500 bantu adik Sufi Syafrina
SHAH ALAM - Pertubuhan Kebajikan Tahanan dan Banduan Malaysia (PEKTAP) menyalurkan sumbangan sebanyak RM6,500 kepada Tabung Bantuan Adik Sufi Syafrina yang menderita penyakit genetik jarang jumpa, Atrofi Otot Spina (SMA) jenis 1.
Pengasasnya, Thanabalan Sadasivam berkata, sumbangan tersebut adalah hasil daripada bantuan ahli keluarga orang kena tuduh (OKT) dan banduan blok Berkat Penjara Sungai Buloh.
“Kutipan ini mengambil masa dua bulan sejak Julai lalu hingga September bagi melengkapkan jumlah dana tersebut dengan sumbangan yang diterima lebih dari 50 orang.
“Pada mulanya kami membuat perjumpaan bersama banduan dan OKT penjara ini kemudian maklumkan mengenai keadaan adik Sufi kerana mereka tidak mengetahui isu semasa atau masalah yang berlaku di luar.
“Mereka terus beritahu kepada keluarga masing-masing dan sumbangan tersebut dikumpulkan selepas mendapat persetujuan bersama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Pada 25 julai lalu, Sinar Harian melancarkan tabung bagi mengumpul dana untuk membantu Sufi Syafrina Mohd Shafiq sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama komuniti atas dasar kemanusiaan yang menyasarkan RM1 juta.
Kisah adik Sufi Syafrina yang menderita penyakit berkenaan mendapat perhatian orang ramai kerana memerlukan dana lebih RM9 juta untuk rawatan suntikan jenis Zolgensma.
Bapanya, Mohd Shafiq, 38, berharap anak bongsu daripada tiga beradik itu dapat mengambil suntikan tersebut secepat mungkin sebelum usia mencapai dua tahun untuk pulih sepenuhnya.
Sementara itu, wakil pertubuhan, Mohanraj Palaniappan berkata, pencetus idea untuk mengumpulkan dana itu merupakan OKT di penjara berkenaan iaitu Vijayan Palaniappan.
“Dia merupakan orang pertama yang mencadangkan mengumpul dana ini untuk membantu adik Sufi kerana kesian melihat keluarga itu terpaksa menanggung kos pembiayaan hospital yang agak tinggi.
“Pembukaan tabung ini akan dibuka semula sekiranya kami menerima lagi sumbangan daripada orang ramai, ahli keluarga OKT dan banduan serta badan bukan kerajaan (NGO).
“Saya juga telah maklumkan kepada beberapa NGO untuk turut serta membantu dan diharapkan lebih ramai sudi menghulurkan bantuan kepada adik Sufi,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin pada Jumaat.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Sinar Karangkraf: 564276-529068 - Tabung Bantuan Sufi Syafrina.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!