KPDN akan bincang syor utamakan produk lokal dalam Jualan Rahmah

Rohaizi (dua, kiri) diiringi Ameer (tengah) meninjau produk tempatan yang dijual di Pasar Raya Mydin Subang Jaya sempena pelancaran KBBM 2023 pada Jumaat.
Rohaizi (dua, kiri) diiringi Ameer (tengah) meninjau produk tempatan yang dijual di Pasar Raya Mydin Subang Jaya sempena pelancaran KBBM 2023 pada Jumaat.
A
A
A

SUBANG JAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mempertimbangkan cadangan untuk mengutamakan barangan lokal dalam Jualan Rahmah.

Pengarah Kanan, Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDN, Datuk Rohaizi Bahari berkata, syor itu akan dibawa beliau untuk dibincangkan di peringkat atasan kementerian berkenaan.

"Saya sambut baik saranan agar KPDN utamakan barangan-barangan tempatan dalam program Jualan Rahmah.

"Maknanya untuk barangan keperluan harian kita beri keutamaan kepada produk lokal. Bukan kata 100 peratus kita utamakan barangan tempatan tapi ia mungkin membabitkan sesetengah produk," katanya selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Pasar Raya Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) di sini pada Jumaat.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin terdahulu ketika berucap pada majlis itu menyarankan kerajaan membuat polisi mengutamakan barangan tempatan seperti keluaran usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam program di bawah inisiatif Payung Rahmah seperti Jualan Rahmah serta Bakul Rahmah.

Ameer berkata, langkah itu dapat membantu usahawan IKS yang mengharapkan produk mereka mendapat jualan yang tinggi.

"Contohnya bayangkan kalau Bakul Rahmah, ambil kicap manis yang dikeluarkan usahawan ini, saya yakin mereka pasti sangat bersyukur," ujarnya.

Rohaizi
Rohaizi

Mengulas lanjut, Rohaizi menjelaskan, ketika ini barangan lokal turut disediakan di bawah program Jualan Rahmah, namun ia bercampur dengan barangan import.

Artikel Berkaitan:

"Secara formalitinya penentuan barangan-barangan (yang akan dijual) itu dibuat antara rakan strategik dan Pengarah KPDN peringkat negeri jadi kita akan minta sekiranya ada barangan lokal, kita utamakan dan galakkan.

"Seperti di Mydin saya nampak kalau ada Jualan Rahmah mereka selalu subsidikan produk lokal," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!