Putin 'beri tugas' kepada bekas pembantu Prigozhin
MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin telah menugaskan bekas pembantu ketua pasukan askar upahan Wagner, Yevgeny Prigozhin yang maut nahas pesawat pada bulan lalu untuk menyelia unit pejuang sukarelawan di Ukraine.
"Kami berbincang tentang perkara itu ketika mesyuarat terakhir. Unit tersebut akan menggalas pelbagai tugas terutamanya di zon 'operasi khas' di Kiev," kata Putin merujuk kepada pertemuannya bersama Andrei Troshev.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Yunus-Bek Yevkurov yang menggariskan tentang usaha integrasi anggota Wagner sebagai tentera tetap Rusia yang turut dituntut Prigozhin ketika melancarkan rampasan kuasa singkat pada Jun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Kremlin merancang untuk menambah bajet pertahanan pada 2024 kepada hampir 70 peratus sebagai usaha untuk memerangi 'perang hibrid' yang dilancarkan Barat ketika konflik bersama Ukraine memasuki fasa baharu.
Dokumen Kementerian Kewangan menunjukkan Moscow memperuntukkan hampir 10.8 trilion ruble (RM521 bilion) untuk ketenteraan iaitu lebih besar daripada bajet untuk dasar sosial. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!