Pekebun rayu JPNS benar aktiviti pertanian diteruskan

Pekebun Kampung Kemensah memohon JPNS memberi kelonggaran membenarkan mereka meneruskan aktiviti pertanian. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Zaharuddin , Nur Shima)
Pekebun Kampung Kemensah memohon JPNS memberi kelonggaran membenarkan mereka meneruskan aktiviti pertanian. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Zaharuddin , Nur Shima)
A
A
A

HULU KELANG - Pekebun di Kampung Kemensah di sini memohon kelonggaran daripada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menjalankan pertanian di atas tanah yang telah diusahakan lebih 30 tahun.

Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Kampung Kemensah, Mohd Zaharuddin Ismail berkata, seramai 74 pekebun kini keresahan susulan insiden dua pekerja kebun yang sedang memesin rumput di kawasan itu ditahan dan direman selama tiga hari atas dakwaan menceroboh.

Menurutnya, tanah diusahakan itu sebelum ini merupakan tanah rizab Melayu sebelum diubah status ke hutan simpan di bawah kawalan JPNS sejak 2010.

"Kami telah membuat permohonan sebanyak empat kali sejak 2014 ke JPNS selain ke Pejabat Tanah Daerah Gombak bagi membolehkan kami beroperasi secara sah.

"Ada sebahagian telah diberi geran, ada juga diberi lesen menduduki sementara (TOL) selain terdapat antara kami yang permohonan masih tiada jawapan. Kami terus memohon sehingga ini.

"Isu ini juga pernah kami suarakan kepada menteri besar untuk diselesaikan. Jika tak boleh keluar geran, dapat permit guna pakai pun tak apa asalkan ada hitam putih untuk kami menduduki tanah ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pekebun menyuarakan kebimbangan berdepan tindakan penguatkuasaan kerana menceroboh tanah hutan simpan di Kampung Kemensah.
Pekebun menyuarakan kebimbangan berdepan tindakan penguatkuasaan kerana menceroboh tanah hutan simpan di Kampung Kemensah.

Beliau ditemui pada sesi pertemuan antara pekebun dengan Penghulu Mukim Hulu Kelang, Rahmad Aydil Ali Akhbar berhubung isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zaharuddin menjelaskan, selain tanaman buah-buahan tempatan, terdapat antara pengusaha menjana ekonomi melalui aktiviti jualan kepada pendaki di sana.

Katanya, pekebun ketika ini dinasihati untuk tidak ke kebun buat sementara waktu susulan insiden penahanan dua individu tersebut yang telah menimbulkan masalah buat mereka yang ada antaranya turut mengusahakan aktiviti ternakan ayam dan itik.

"Kami akan cuba cari jalan untuk memohon pertimbangan JPNS. Harapan saya isu ini dapat diselesaikan secara baik bagi membolehkan kami teruskan bercucuk tanam seperti biasa.

"Dulu kawasan ini hutan belantara, tiada yang mahu usahakan namun kini lokasi ini menjadi tumpuan termasuk kehadiran ribuan pengunjung untuk aktiviti pendakian yang turut jana ekonomi buat penduduk di sini," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Nur Shima Abdullah, 23, berkata, tanaman sayuran serta ubi kayu diusahakan mereka turut dimusnahkan kerana dakwaan menceroboh hutan simpan.

"Saya tak faham apabila kami turut diambil tindakan oleh JPNS sedangkan kami bukan pendatang tetapi adalah pribumi.

"Kenapa kami dilayan seperti ini, takkan mahu suruh kami pindah masuk ke hutan lebih dalam lagi?

"Saya merupakan generasi ketiga yang nenek moyang telah duduki kawasan ini sejak zaman Jepun. Apabila tindakan penguatkuasaan diambil, kami jadi keliru dan harap JPNS dapat jelaskan isu ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!