Selangor himpun, martabat seni budaya Asia Pasifik

Anjurkan edisi pertama APYFF 2023

A
A
A

Anfaal (dua dari kiri) meletakkan silinder sebagai tanda simbolik perasmian AYFF 2023 dan disaksikan oleh Mohamad Azham (kiri).
Anfaal (dua dari kiri) meletakkan silinder sebagai tanda simbolik perasmian AYFF 2023 dan disaksikan oleh Mohamad Azham (kiri).

Kepelbagaian seni dan budaya masyarakat dunia mampu memainkan peranan besar dalam mewujudkan persekitaran global yang lebih harmoni jika semua pihak berusaha untuk memahami serta menghormatinya.

Konsep ini dilihat menjadi penggerak kepada Kerajaan Selangor untuk menghimpunkan belia dari 12 negara-negara di rantau Asia Pasifik bagi memperkenal serta mempromosikan seni warisan budaya masing-masing menerusi penganjuran Asia Pacific Youth Folklore Festival (APYFF) 2023 edisi pertama.

APYFF 2023 yang dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu telah diadakan selama enam hari bermula pada 21 hingga 26 September di dua lokasi iaitu di Dewan Sivik MBPJ dan Laman MBPJ di PJS 7, Petaling jaya.

Acara penutup APYFF 2023 diadakan di Laman MBPJ pada 24 September yang disusuli dengan acara persembahan kebudayaan serta pertunjukan bunga api.

Antara kumpulan belia yang menyertai festival itu adalah dari negara China, India, Indonesia, Iran, Jepun, Lithuania, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Timor-Leste.

Perkongsian budaya

Artikel Berkaitan:

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari semasa merasmikan APYFF 2023 pada Sabtu lalu menyatakan, Malaysia seperti kebanyakan negara-negara dunia lain memiliki kepelbagaian etnik yang berbeza agama, bahasa, seni dan budaya.

Perbezaan itu menurutnya telah membentuk Malaysia sebuah negara multi-cultural yang mana kemajmukannya adalah dalam konteks yang luas.

Mohamad Azham (dua dari kiri) bersalaman dengan Mohd Hasry (dua dari kanan) sambil menyerahkan MoU pelaksanaan PBP di antara MBPJ dengan MPHS.
Mohamad Azham (dua dari kiri) bersalaman dengan Mohd Hasry (dua dari kanan) sambil menyerahkan MoU pelaksanaan PBP di antara MBPJ dengan MPHS.

“Justeru, kemajmukan (agama, budaya dan bahasa) itu bukan sahaja menjadikan masyarakat menjadi kompleks, tetapi turut mewujudkan perkongsian aktiviti sosial seterusnya membentuk satu kehidupan yang dikongsi bersama.

“Perkongsian kepelbagaian inilah mencorakkan masyarakat dalam sesebuah negara,” katanya.

Merujuk kepada penegasan Anfaal itu, maka ia menjadi unsur terpenting yang tersirat dalam penganjuran APYFF 2023. Penghayatan terhadap kepelbagaian seni dan budaya masyarakat itu diletakkan sebagai satu keperluan dalam setiap aspek kehidupan sama ada fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Promosi seni budaya tempatan

Penganjuran APYFF 2023 sudah tentunya membuka peluang kepada orang ramai khususnya rakyat Selangor untuk mengenali dengan lebih dekat keunikan seni budaya dari negara-negara lain.

Demikian yang dinyatakan Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir yang sepanjang karnival itu berlangsung, ia turut membuka ruang kepada seni budaya masyarakat Malaysia ditonjolkan kepada kepada para pengunjung dari negara lain.

Malah, pendedahan ini turut menggalakkan lagi pertukaran idea-idea baharu yang merentas sempadan antarabangsa sekali gus menyemarakkan lagi seni kebudayaan di peringkat global.

“Ia juga membantu meningkatkan toleransi dan menghormati perbezaan budaya lain sekali gus memudahkan kerjasama antara negara selepas ini.”tegas beliau.

FYFF 2023 memperlihatkan pelbagai program menarik diadakan seperti persembahan kebudayaan antarabangsa, seminar kerjaya seni dan Persidangan Antarabangsa PJ 2023.

Kumpulan belia dari Lithuania mengadakan persembahan kebudayaan mereka sempena APYFF 2023 di Laman MBPJ pada 24 September.
Kumpulan belia dari Lithuania mengadakan persembahan kebudayaan mereka sempena APYFF 2023 di Laman MBPJ pada 24 September.

Pada masa sama, satu memorandum persefahaman (MoU) turut termeterai sempena AYFF 2023 bagi melaksanakan Program Bandar Persahabatan (PBP) di antara MBPJ dengan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

MoU tersebut ditandatangani oleh Mohamad Azhan mewakili MBPJ manakala MPHS diwakili Yang Dipertuanya, Mohd Hasry Nor Mohd.

MoU itu membuka peluang kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengadakan kerjasama dalam pelbagai bidang meliputi pelan strategik, tadbir urus, kompetensi warga kerja, kepimpinan pelajar, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan, keusahawanan dan ekonomi, kesenian, kebudayaan dan pelancongan inovasi dan kreativiti serta lain-lain perkara yang dipersetujui bersama.

“MoU ini merupakan perkongsian yang inklusif dan amalan terbaik bagi memberi perkhidmatan terbaik untuk kesejahteraan rakyat.” jelas Mohamad Azhan.

MBPJ sejak 2013 lagi telah melaksanakan program PBP dalam usaha memantapkan pengurusan serta pembangunan bandar raya Petaling Jaya di antara rakan-rakan strategik dari dlam dan luar negara.

Selain bandar raya Kuala Terengganu, MBPJ turut menjalin kerjasama di bawah PBP dengan bandar raya Asan dan SeongBuk masing-masing di Korea Selatan, Kota Bandung (Indonesia), bandar raya Qinyuan (China) dan Miyoshi Town di Jepun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!