Sukan Asia: Muhammad Shah Firdaus raih gangsa keirin

Muhammad Shah Firdaus
Muhammad Shah Firdaus
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom mempamerkan aksi memberangsangkan untuk meraih pingat gangsa acara keirin lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 di Velodrom Chun’an Jieshou malam ini.

Pelumba berusia 27 tahun itu menamatkan saingan dengan 1.481 saat (s) di belakang pemenang pingat emas Zhou Yu dari China (9.722s) dan Kang Seojun dari Korea Selatan yang meraih perak (+1.474s).

Ini merupakan pingat gangsa kedua individu yang diraih pelumba kelahiran Johor itu, selepas melakukannya dalam acara pecut semalam.

Terdahulu, Muhammad Shah Firdaus mengungguli saringan ketiga pusingan pertama sebelum memenangi saringan kedua peringkat separuh akhir.

Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis menamatkan saingan di tempat kelapan.

Sementara itu, dalam acara pecut individu wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menamatkan saingan di tempat kelima manakala Anis Amira Rosidi pula di tempat ketujuh.

Abdul Azim Aliya dan Muhammad Yusri Shaari yang bersaing dalam acara madison lelaki akhir, menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan mengumpul dua mata.

Pingat emas dimenangi gandingan pelumba Jepun, diikuti Korea Selatan manakala gangsa menjadi milik Kazakhstan. - Bernama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!