Perlawanan Kelantan FC, Sabah FC batal padang digenangi air
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Aksi Liga Super membabitkan Kelantan FC dan Sabah FC yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada Jumaat, terpaksa dibatalkan akibat keadaan padang yang digenangi air kerana hujan lebat.
Perlawanan yang sepatutnya bermula pada jam 9 malam itu bagaimanapun tertangguh kerana hujan berterusan sejak jam 7 malam.
Keputusan menunda perlawanan tersebut dibuat oleh Komisioner Perlawanan, Azhar Ahmad setelah mendapat kata sepakat daripada Komisioner Umum, Hasbullah Ibrahim, Pegawai Perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih dan Penilai Pengadil, Rosdi Shahrul.
Ketua Jurulatih Kelantan FC, Alfredo Vera dan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee juga bersetuju dan akur dengan keputusan penundaan perlawanan tersebut.
Sedikit situasi di stadium itu, Azhar turut dilihat memeriksa keadaan padang yang menyebabkan aksi terbabit tidak dapat berlangsung mengikut waktu.
Permukaan padang yang basah tersebut pasti menjejaskan kualiti permainan yang mahu ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan dalam misi memburu mata kemenangan.
Sementara itu, pihak pengurusan Team Red Warriors (TRW) memberitahu perlawanan tersebut ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan nanti.
Katanya, penonton yang sudah membeli tiket boleh menyimpan tiket itu untuk perlawanan pada masa akan datang.
“Simpan tiket untuk digunakan pada perlawanan akan datang sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan.
“Segala kesulitan amatlah dikesali dan pihak pengurusan TRW memohon maaf atas keadaan ini,” ujarnya.
Pada 4 September lalu, perlawanan bola sepak saingan Liga Super antara Kelantan United FC (KUFC) dan Kuching City FC tertunda selama sejam setengah akibat keadaan sama yang berlaku di stadium itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!