Selangor balas dendam, belasah Terengganu 4-0

Faisal (kiri) turut mencetak nama selaku penjaring ketika menentang TFC. FOTO: FB SELANGOR FC
Faisal (kiri) turut mencetak nama selaku penjaring ketika menentang TFC. FOTO: FB SELANGOR FC
A
A
A

SELANGOR FC berjaya melunaskan dendam apabila membelasah Terengganu FC (TFC) 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu menampilkan corak permainan agresif untuk memadam luka tewas kepada lawan sama pada aksi suku akhir Piala Malaysia lima hari lalu.

Kemenangan itu turut mencerahkan peluang Selangor menamatkan kedudukan di tempat kedua Liga Super sekali gus memburu slot ke Piala AFC musim depan.

TFC yang turun tanpa beberapa tonggak utama nyata gagal untuk menyaingi rentak agresif yang dipamerkan skuad Gergasi Merah.

Tirai jaringan Selangor FC dibuka melalui percubaan jarak jauh Yohandry Orozco pada minit ke-25 dan TFC cuba untuk bertindak balas 10 minit kemudian menerusi penyerang import, Adisak Kraisorn namun tandukkannya tidak menepati sasaran.

Kegagalan Rahadiazli Rahalim menangkap kemas percubaan Mukhairi Ajmal membawa padah apabila Orozco menyambar bola muntah tersebut untuk gol kedua peribadinya dalam perlawanan tersebut.

Enam minit selepas babak kedua bersambung, Selangor terus garang mencetak gol menerusi tonggak sensasi mereka, Faisal Halim yang merembat deras untuk sekali lagi menewaskan penjaga gol muda Terengganu itu.

Pemain gantian, Muhammad Aliff Izwan Yuslan menambah derita TFC menerusi gol keempat pasukan pada minit ke-80.

Artikel Berkaitan:

Selangor ketika ini masih kekal di kedudukan kedua liga dengan 52 mata meninggalkan pasukan Kedah di kedudukan ketiga dengan 44 mata, namun skuad Sang Kenari itu mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

TFC pula ketika ini berada di kedudukan keenam liga dengan 35 mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!