'Air naik mendadak, penduduk terperangkap banjir'

Air naik mendadak menyebabkan penduduk tidak dapat melalui dengan kenderaan seperti motosikal dan kereta.
Air naik mendadak menyebabkan penduduk tidak dapat melalui dengan kenderaan seperti motosikal dan kereta.
A
A
A

TANAH MERAH - Lebih lima kampung di kawasan Kelewek di sini dilanda banjir apabila air naik sehingga setinggi kira-kira 0.7 meter berikutan hujan lebat pada Jumaat.

Kampung-kampung terlibat antaranya Kampung Kelewek, Kampung Repoh jagung dan Kampung Air Sejuk.

Seorang penduduk, Mohamad Shukri Mat Yaacob, 39, berkata, hujan berlaku sekitar jam 4 petang hingga 7 malam dan turun dengan lebat menyebabkan keadaan air cepat naik di kawasan itu hingga melimpah ke jalan-jalan yang dilalui penduduk.

Katanya, keadaan banjir itu pernah berlaku di kawasan tersebut sebelum ini namun tidak seburuk kejadian yang terbaharu tersebut.

“Biasanya apabila hujan lebat beberapa jam, banjir kilat akan berlaku di kawasan Kelewek dan air naik setinggi hingga 0.2 meter sahaja.

Jalan di Kelewek dilimpahi air selepas hujan lebat pada petang Jumaat.
Jalan di Kelewek dilimpahi air selepas hujan lebat pada petang Jumaat.

“Kali ini, air naik dengan cepat sedalam kira-kira 0.5 hingga 0.7 meter di sesetengah kawasan terutama di jalan-jalan kampung menyebabkan penduduk tidak dapat keluar atau masuk dengan kenderaan seperti kereta dan motosikal ke rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Jumaat.

Menurut Mohamad Shukri, rumahnya terletak di Repoh Jagung dan tidak jauh daripada rumah mentuanya yang sudah pun dinaiki air separas 0.2 meter.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hujan masih turun di kawasan itu secara renyai-renyai dan penduduk mula mengemas barangan rumah bimbang air akan naik lagi.

“Air sudah mulai surut kerana hujan lebat sudah pun reda tetapi belum sepenuhnya.

“Mujurlah barang-barang rumah mentua sempat dialihkan daripada terus digenangi air dan kami akan terus berjaga-jaga dengan keadaan ini,” ujar lelaki itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!