LTdL 2023: Malaysia belum menyerah kalah

Pelumba pasukan kebangsaan, Zulhelmi Zainal mampu mencipta kejutan pada Peringkat 8 LTdL 2023 dari Setia Alam ke KLCC pada Sabtu. - Foto Bernama
Pelumba pasukan kebangsaan, Zulhelmi Zainal mampu mencipta kejutan pada Peringkat 8 LTdL 2023 dari Setia Alam ke KLCC pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

BAGAIKAN berjuang sehingga titisan keringat terakhir, pasukan kebangsaan Malaysia belum mahu mengibarkan ‘bendera putih’ dalam memburu kemenangan menjelang Peringkat 8 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 pada Sabtu.

Berbaki satu peringkat, kesemua enam barisan pelumba negara masih tetap bersemangat untuk memecah dominasi wakil Eropah yang berjaya menguasai tujuh peringkat sebelum ini.

Ketua jurulatih Malaysia, Mohd Yusoff Nasir berkata, semangat anak-anak buahnya tidak pernah luntur dalam usaha mereka menghadiahkan kejayaan buat peminat sukan berbasikal tanah air.

“Seperti yang sering saya katakan, selagi perlumbaan belum berakhir, selagi itu kami akan terus memburu kemenangan... kerja kami masih belum selesai.

“Kami masih berpeluang membuktikan sesuatu. Jadi saya harap para pelumba dapat meraih keputusan lebih baik pada hari terakhir LTdL,” katanya.

Dalam pada itu, pelumba EF Education-EasyPost, Simon Carr hanya menantikan masa ditabal selaku juara baharu LTdL yang memasuki edisi ke-27 tahun ini.

Dengan kelebihan 49 saat (s) berbanding pencabar terdekat yang juga rakan sepasukannya, Alexander Jefferson Cepeda Ortiz, Carr bakal mengesahkan kejuaraan jika menamatkan perlumbaan dalam kelompok hadapan.

Dari kiri, Pellaud, Carr, De Kleijn dan Pronskiy menyarung jersi masing-masing selepas tamat perlumbaan Peringkat 7 LTdL 2023 di Seremban 2 pada Jumaat.
Dari kiri, Pellaud, Carr, De Kleijn dan Pronskiy menyarung jersi masing-masing selepas tamat perlumbaan Peringkat 7 LTdL 2023 di Seremban 2 pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Ya sudah tentu saya mahu mengekalkan Jersi Hijau (selaku pendahulu keseluruhan) sehingga peringkat terakhir esok (Sabtu), seterusnya muncul juara LTdL tahun ini.

"Sebenarnya saya sudah tidak sabar untuk menamatkan perlumbaan LTdL 2023. Apapun saya tidak boleh leka dan harus fokus sepanjang perlumbaan peringkat terakhir esok (Sabtu)," ujar Carr.

Selain Jersi Hijau, 'juara' tiga lagi jersi - Jersi Jingga (Raja Pecut), Jersi Polka Dot (Raja Bukit) dan Jersi Putih (Terbaik Asia) juga bakal disahkan pada Sabtu.

Ketika ini, dua pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn yang menyarung Jersi Jingga dan Simon Pellaud (Jersi Polka Dot), manakala pelumba Astana Qazaqstan Team, Vadim Pronskiy (Jersi Putih) tampak hampir pasti meraih gelaran masing-masing.

Peringkat 8 yang juga peringkat terakhir dengan jarak sejauh 156.6km membabitkan tiga zon pecutan dan dua zon pendakian sebelum para pelumba mengakhiri perlumbaan di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!