Polis teruskan siasatan kes pecah rumah Bukit Indah 2
ISKANDAR PUTERI - Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes pecah rumah yang berlaku di Bukit Indah 2 pada 1 September lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes berkenaan.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan foto rakaman kamera litar tertutup yang dimuat naik di laman Facebook JB Trace II, aktiviti jenayah itu dilakukan oleh dua individu yang memecah masuk melalui pintu belakang (dapur), rumah berkenaan.
“Kes ini dipercayai berlaku pada 1 September lalu. Dua individu didapati telah memecah masuk sebuah rumah di Bukit Indah 2.
“Ketika ini siasatan masih berjalan bagi mengenal pasti individu-individu berkenaan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Sebelum itu, sebanyak tiga gambar serta klip video masing-masing berdurasi 3 minit 10 saat, 20 saat dan 1 minit 16 saat dimuat naik ke laman Facebok JB Tracer II yang memaparkan insiden pecah rumah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!