Mohd Amar dahului 772 penerima darjah kebesaran Kelantan
KOTA BHARU - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mendahului senarai 772 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-54 pada Sabtu.
Dalam istiadat penganugerahan yang berlangsung di Istana Balai Besar di sini, Mohd Amar yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan menerima gelaran Dato’ Sri Amar D’Raja.
Seterusnya, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) yang membawa gelaran Datuk kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Turut menerima gelaran Datuk ialah Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Aminuddin Hassim yang dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK).
Sultan Muhammad V turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DPMK) yang membawa gelaran Datuk kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun; Pegawai Kewangan negeri Kelantan, Datuk Norazman Abd Ghani; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh; Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin@Syed Hussin serta Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar.
Selain itu, sembilan penerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed.
Bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK), Sultan Muhammad V berkenaan mengurniakan kepada lima penerima yang akan membawa gelaran Datuk antaranya Panglima Briged Kelapan Infantri Brigidier Jeneral Azudin Hassan; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Sejumlah 15 menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang membawa gelaran Datuk termasuk Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Kelantan, Mohd Zamri Abdul Aziz; Pengarah Tanah dan Galian Kelantan, Rosnazli Amin serta Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaysia Kelantan, Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad.
Penerima tunggal bagi Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) yang juga membawa gelaran Datuk diberikan kepada Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Aidid Tajuddin.
Majlis pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian itu disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!