X milik Elon Musk ke mahkamah lagi, kali ini sebagai plaintif
SAN FRANCISCO - X Corp yang dimiliki oleh bilionair Elon Musk berhadapan dengan satu lagi kes mahkamah, kali ini syarikat berkenaan sebagai plaintif yang membuat tuntutan berhubung sewa yang tidak dibayar.
X Corp telah mendakwa sebuah syarikat perkhidmatan kewangan untuk mendapatkan semula lebih AS$713,500 (RM3.35 juta) yang tertunggak dan bayaran lain hasil daripada perjanjian penyewaan semula ruang pejabat di San Francisco.
X, yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Atlas Exploration di Mahkamah Agung San Francisco pada Khamis dalam satu tuntutan pelanggaran kontrak.
Atlas dan X telah memasuki perjanjian penyewaaan semula bagi ruang di 650 California Street di pusat kewangan San Francisco pada bulan April 2021, menurut tuntutan tersebut.
Aduan tersebut, bagaimanapun, mendakwa Atlas cuba untuk mengakhiri perjanjian itu lebih awal tahun lalu.
X turut mendakwa, Atlas berhutang lebih daripada AS$340,263 (RM1.6 juta) iaitu bayaran sewa dari September hingga November tahun lalu.
Dalam masa sama, X mendakwa, Atlas gagal membayar sebarang bayaran penamatan awal.
Peguam yang telah mewakili Atlas dalam pertikaian ini, Kevin Hill, enggan memberi sebarang ulasan.
Hill berkata dalam surat kepada X pada bulan April bahawa syarikat tersebut meminta sewa untuk beberapa bulan tahun lalu secara tidak adil selepas Atlas sudah membuat pembayaran untuk ruang pejabat baharu mereka.
X telah menghadapi pelbagai tindakan undang-undang berkenaan sewa yang tidak dibayar dan invois lain selepas pembelian akaun media sosial itu oleh Musk bernilai AS$44 bilion (RM191.44 bilion) ketika itu pada Oktober tahun lalu.
Dalam satu kes, pemilik ibu pejabat utama X di 1355 Market Street di San Francisco telah mendakwa X berhubung lebih daripada AS$3.1 (RM14.57 juta) juta sewa yang tidak dibayar.
X sedang mempersoalkan tuntutan tersebut di mahkamah.
Pada bulan Januari pula, Crown Estate Britain, yang menguruskan portfolio harta milik monarki, telah mengemukakan tuntutan terhadap X berkenaan sewa yang tidak dibayar di ibu pejabat London mereka.
Secara berasingan, X menghadapi pelbagai tuntutan pekerja yang mencabar pemutusan, faedah pemutusan dan manfaat lain yang tidak dibayar.
Peguam X, Jonathan Hawk juga tidak mengeluarkan sebarang maklum balas ketika diminta mengulas mengenai hal itu. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!