APM Baling tangkap ular sawa 80kg tersangkut dalam pukat

Ular sawa seberat 80kg ditangkap di Kampung Sungai Tembak, Baling pada Jumaat.
Ular sawa seberat 80kg ditangkap di Kampung Sungai Tembak, Baling pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Seekor ular sawa seberat hampir 80 kilogram (kg) berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Sungai Tembak, Baling pada Jumaat.

Pegawai APM Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 11 pagi berhubung kehadiran ular sawa sepanjang kira-kira tujuh meter (m) yang tersangkut dalam pukat seorang lelaki.

"Menurut makluman awal, lelaki itu sedang mencari ikan dengan isterinya sebelum menemui ular tersebut berada di dalam pukat berhampiran sungai.

"Lelaki itu yang ketakutan terus menghubungi talian kecemasan APM Baling untuk meminta bantuan bagi menangkap reptilia tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, operasi menangkap reptilia itu dilakukan dengan menggunakan alat khas.

Katanya, ular tersebut berjaya ditangkap dan dibawa ke pejabat APM Baling untuk tindakan seterusnya.

Mohd Faizol berkata, hujan lebat sejak kebelakangan ini dipercayai menjadi punca semakin banyak kes ular bersaiz besar menceroboh masuk rumah penduduk sekitar daerah Baling.

Anggota APM Baling menangkap ular sawa seberat 80kg di Kampung Sungai Tembak, Baling pada Jumaat.
Anggota APM Baling menangkap ular sawa seberat 80kg di Kampung Sungai Tembak, Baling pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

"Difahamkan, pihak APM Baling semakin kerap menerima laporan kecemasan berhubung kemunculan ular dengan pelbagai spesies yang berbahaya," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Faizol memaklumkan, anggota APM Baling tetap bertugas seperti biasa dan sentiasa bersiap sedia, walaupun sibuk membantu mangsa banjir di pusat pemindahan.

"Semua anggota telah bersiap sedia untuk membantu tanpa mengira masa dan waktu di samping memastikan semua aset menyelamat telah diselenggara dengan baik.

"Malah, aspek pengurusan bencana telah dipanjangkan ke peringkat komuniti kampung supaya bantuan yang cepat boleh diberikan," katanya.

Beliau menasihatkan orang awam supaya berhati-hati dengan keadaan sekeliling dan sebarang kecemasan boleh menghubungi APM Baling di talian 044701626 (24 jam) atau 999 untuk mendapatkan bantuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!