Cuaca panas, jangan lakukan pembakaran terbuka - JAS
PORT DICKSON - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengelakkan berlaku aktiviti pembakaran terbuka di luar kawalan susulan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
Pengarahnya, Hamzah Mohamad berkata, keadaan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga daerah di negeri ini juga menunjukkan bacaan tidak begitu baik dalam minggu ini.
"Setakat jam 9 pagi tadi, Nilai menunjukkan IPU tidak sihat iaitu 135 manakala Seremban 93 dan Port Dickson 83.
"JAS dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi berkaitan sentiasa melaksanakan pemantauan kualiti udara dan rondaan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pembakaran terbuka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Clean Up Day 2023 dan Sambutan Hari Ozon Sedunia peringkat Negeri Sembilan di Pantai Saujana di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd, Norlisam Mohd Nordin.
Sehubungan itu beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh memberi kesan lebih buruk.
Tambahnya, mereka yang didapati melakukannya boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dikompaun RM2,000 dan denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kita dapati peningkatan IPU ini berlaku dalam masa seminggu dua ini dan bacaannya boleh meningkat disebabkan pembakaran setempat, aktiviti manusia atau faktor luaran.
"Jadi nasihat saya jangan lakukan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!