Perak usaha tingkat SSR beras penuhi keperluan domestik
SUNGAI SIPUT - Kerajaan negeri Perak sedang berusaha untuk meningkatkan Nisbah Sara Diri (SSR) bagi 16 jenis tanaman pertanian termasuk beras bagi memenuhi permintaan domestik.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini hanya 13 jenis tanaman yang telah melebihi 100 peratus SSR iaitu kelapa, jagung manis, belimbing, betik, jambu batu, pisang, bayam, bendi, kacang panjang, sawi, terung, timun dan ubi keledek.
Katanya, bagaimanapun usaha berterusan dilakukan bagi tanaman yang tidak mencapai SSR iaitu beras, cempedak, nangka, durian, mangga, manggis, rambutan, cili, salad, limau nipis, ubi kayu, tembikai, tomato, nanas, langsat, kubis bulat dan halia.
"Mengambil pedoman daripada titah-titah Paduka Seri Tuanku supaya aspek keterjaminan makanan sentiasa diberi perhatian yang sewajarnya, kerajaan negeri telah melipatgandakan usaha dan ikhtiar agar segala inisiatif bagi memperkukuhkan Sekuriti Makanan seperti digagaskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dapat direalisasikan khususnya melalui kolaborasi agensi dan jabatan berkaitan sektor pertanian untuk menjana pengeluaran hasil makanan berskala besar.
"Mudah-mudahan, berkat usaha dan ikhtiar, Perak bukan sahaja mampu memperkukuhkan aspek keterjaminan makanan dalam negeri, tetapi juga menjadi pelantar kepada pengukuhan agenda sekuriti makanan negara secara keseluruhan selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021-2025) dan Dasar Agromakanan Negara 2.0 ( 2021 -2030)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Perasmian Perak Agrofest 2023 di Ladang Infoternak Sungai Siput (U) di sini pada Sabtu.
Majlis perasmian disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Sementara itu, Saarani berkata, bagi sektor perikanan, Perak merupakan peneraju sektor berkenaan dengan jumlah pengeluaran yang tertinggi untuk aktiviti akuakultur dan perikanan tangkapan sehingga mencatatkan Tahap Kadar Sara Diri (SSL) pada kadar 98.31 peratus ketika tahun 2022.
Menurutnya, untuk sektor komoditi ternakan bagi tahun 2022 pula, daging serta telur ayam dan itik telah melebihi nilai SSR 100 peratus selain susu segar lembu pada kadar SSL 94.4 peratus.
Jelasnya, kerjasama strategik agensi negeri dengan para pemegang taruh terus dipergiatkan untuk meningkatkan kadar SSR bagi pengeluaran daging lembu, kerbau, kambing dan bebiri.
"Bagi memperkukuhkan jaminan sekuriti makanan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) sudah pun memerterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) bagi menubuhkan Akademi Sekuriti Makanan.
"Akademi Sekuriti Makanan ini adalah salah satu penanda utama dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang akan meneroka bidang sekuriti makanan yang masih baharu dan sentiasa memerlukan inovasi serta kreativiti selain mengembangkan penyelidikan saintifik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!