Notis merah menantu Muhyiddin: Interpol minta beberapa lagi dokumen

Azam menunjukkan kemahiran menembak ketika Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di Kajang pada Sabtu.
Azam menunjukkan kemahiran menembak ketika Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di Kajang pada Sabtu.
A
A
A

KAJANG - Draf pertuduhan antara dokumen yang diperlukan Polis Antarabangsa (Interpol) dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum notis merah dikeluarkan kepada menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, mengenai perkara ini, pihaknya tidak boleh membuat permohonan notis merah secara terus kepada Interpol.

"Sebaliknya kita perlu melalui pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Melalui polis, kita kemukakan apakah kehendak Interpol dan Interpol minta beberapa lagi dokumen tertentu untuk dipenuhi," katanya kepada pemberita selepas Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai dokumen itu, kata Azam, antara dokumen yang diperlukan ialah draf pertuduhan dan sebagainya.

Katanya, dijangka dokumen ini akan diserahkan kepada PDRM pada Isnin.

"Dalam Isnin depan kita jangka akan serah kepada pihak polis," ujarnya.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis setakat ini sedang menunggu beberapa maklumat dari SPRM sebelum menghantar permohonan kepada Interpol.

Artikel Berkaitan:

Ogos lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberikan kerjasama kepada SPRM berhubung kes membabitkan Muhammad Adlan, 48, serta peguam, Mansoor Saat, 69.

Kedua-dua individu itu dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Kedua-dua mereka dipercayai melarikan diri dari negara ini pada Mei lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!