Kurang sejam, 10,651 puntung rokok dikutip di Pantai Saujana
PORT DICKSON - Hanya dalam tempoh 45 minit, sebanyak 10,651 puntung rokok berjaya dikutip di sekitar kawasan Pantai Saujana di sini, pada Sabtu.
Ia hasil inisiatif 357 sukarelawan yang terlibat dalam program pembersihan pantai sempena Clean Up Day 2023 dan Sambutan Hari Ozon Sedunia peringkat Negeri Sembilan.
Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd, Norlisam Mohd Nordin, jumlah puntung rokok yang dikutip agak tinggi, sekali gus menunjukkan tabiat sesetengah perokok yang tidak bertanggungjawab.
"Pelbagai jenis sisa buangan ditemui di sekitar kawasan pantai ini antaranya plastik dan penutup botol manakala paling banyak adalah puntung rokok iaitu 10,651 batang.
"Biasanya dalam tempoh satu jam program sebegini diadakan yang melibatkan seramai 100 ke 150 sukarelawan, sebanyak 3,000 hingga 4,000 puntung rokok berjaya dikutip, tapi kali ini agak tinggi kerana penyertaan sukarelawan yang ramai," katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Turut hadir, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Hamzah Mohamad.
Menurutnya, kemungkinan saiz puntung rokok yang kecil dilihat tidak begitu menjejaskan persekitaran, tetapi jika dikumpulkan ia boleh menjadi banyak.
Katanya, tidak mustahil lebih banyak puntung rokok akan dikutip sekiranya program itu diadakan dalam tempoh lebih lama.
"Kemungkinan dah jadi tabiat sesetengah perokok bila rokok yang dihisap dah habis, ia dibuang merata-rata.
"Kalau tempoh hampir satu jam kita boleh kumpul puntung rokok sebanyak itu, bayangkan berapa banyak lagi kita berjaya kutip jika ia diadakan dalam tempoh beberapa jam lagi," katanya.
Sementara itu Norlisam berkata, secara keseluruhan, sebanyak 98.5 kilogram sampah yang dikutip dalam program tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!