Mangsa banjir bimbang bah besar 2010 berulang

Mariam bimbang banjir besar yang melanda Kedah pada 2010 berulang.
Mariam bimbang banjir besar yang melanda Kedah pada 2010 berulang.
A
A
A

ALOR SETAR - Penduduk di beberapa kampung di daerah Kota Setar bimbang banjir besar yang melanda Kedah pada 2010 berulang.

Mangsa banjir, Mariam Din, 60, berkata, dia melahirkan kebimbangan itu berikutan banjir melanda pada kali ini dilihat hampir sama dengan situasi banjir 13 tahun lepas.

Disebabkan itu, katanya, dia agak bimbang melihat keadaan rumahnya di Gunung kerana dikhuatiri air makin naik.

"Mak cik risau jadi macam 2010, air naik sedikit demi sedikit ketika itu hingga mencecah paras dada (1.4 meter). Daripada rumah kami kena pindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Gunung kemudian kena pindah ke PPS Alor Janggus pula.

"Tahun ini pun, air naik sedikit demi sedikit hingga mencecah 0.3 meter. Namun, mak cik harap jangan jadi macam tahun 2010," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah di sini, pada Sabtu.

Mariam berkata, dia dan ahli keluarganya sempat membawa naik beberapa perkakas kediaman ke tempat tinggi sebelum berpindah ke PPS berkenaan.

Seorang lagi mangsa banjir, Syafikah Mohd Suhaimi, 28, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan kerana tiada di lokasi kejadian semasa banjir melanda.

Syafikah berpindah ke PPS SK Titi Gajah selepas rumahnya di Sungai Baru dinaiki air.
Syafikah berpindah ke PPS SK Titi Gajah selepas rumahnya di Sungai Baru dinaiki air.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia sekeluarga berada di Sarawak untuk menjaga neneknya yang sakit ketika air naik di kediamannya di Sungai Baru di sini.

"Balik sahaja rumah, kami lihat air telah naik dan sehingga kini masih tidak surut. Habis tenggelam semuanya dari tilam, perabot dan banyak barangan lagi," katanya.

Kongsi Syafikah, dia risau keadaan rumah, namun turut risau dengan keselamatan mereka sekeluarga berikutan keadaan air yang naik itu.

Sementara itu, Penghulu Mukim Titi Gajah, Mohd Ridzuan Abd Razak berkata, PPS SK Titi Gajah yang menempatkan 67 mangsa dibuka kira-kira jam 6.30 petang pada Khamis lepas.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa banjir dipercayai telah pulang untuk mencuci kediaman masing-masing.

Menurut Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, setakat jam 12 tengah hari, mangsa banjir ditempatkan di PPS di Kedah berkurangan kepada 1,230 orang daripada 366 keluarga berbanding 1,383 orang daripada 420 keluarga pada 8 pagi.

Suhaimi memaklumkan, kesemua mangsa itu masih ditempatkan di 12 PPS di empat daerah terjejas termasuklah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Baling.

Beliau berkata, PPS SK Taman Aman di daerah Alor Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi seramai 289 orang, diikuti PPS Surau Annuar di daerah Baling dengan 261 orang dan 147 orang lagi di PPS Bukit Hijau, Pokok Sena.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!