Bekalan beras: Kerajaan perlu tegas penguatkuasaan, jangan acah-acah
PASIR SALAK - Kerajaan perlu menggiatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan di bawah perundangan jabatan sedia ada agar isu bekalan serta harga beras di pasaran dapat dipulihkan.
Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, langkah itu bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan atas keadaan yang berlaku dengan melakukan kegiatan menyorok bekalan beras.
Menurutnya, isu beras yang menjadi kebimbangan rakyat ketika ini bukan sahaja berlaku disebabkan kekurangan hasil pengeluaran padi, tetapi lebih banyak kepada manipulasi terhadap permintaan dan penawaran.
"Dalam krisis sebegini, akan ada pemborong dan pengilang ambil kesempatan menyimpan stok-stok beras di tempat mereka, bila bekalan didapati kurang, mereka bolehlah naikkan harga.
"Ini satu tindakan tidak bertanggungjawab dan kerajaan kena berani, buat pemantauan tegas terhadap mereka ini, janganlah acah-acah sahaja.
"Pak menteri pun kena turun padang tengok betul ke penguat kuasa buat kerja," katanya selepas menyampaikan sumbangan beras anjuran Pasir Salak Bangkit kepada 500 keluarga di Dewan Besar Pekan Rabu, Chenderong Balai dekat sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, rakyat bergantung harap kepada kerajaan untuk menyelesaikan isu berkenaan dalam masa terdekat.
"Pemimpin politik pun kenalah lebih prihatin untuk jaga kebajikan rakyat dalam keadaan begini.
"Walau saya tidak ada lagi jawatan, macam mana pun akan terus membantu dengan cara lain, jika tidak melalui kerajaan atau parti, kita usaha melalui pertubuhan seperti Pasir Salak Bangkit ini," katanya.
Pengerusi Pasir Salak Bangkit itu turut memberitahu perancangannya untuk mewujudkan skim subsidi khas pembelian beras kepada penduduk Pasir Salak.
Katanya, melalui skim itu, orang ramai hanya perlu membayar 60 ke 50 peratus daripada harga beras yang ditawarkan dan selebihnya ditanggung pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.
"Katakanlah harga beras satu kampit 10 kilogram berharga RM26, kita bantu beri subsidi RM10, maka orang ramai hanya perlu bayar RM16 sahaja.
"Cara ini boleh dimanfaatkan lebih ramai orang, sebab saya memikirkan penduduk di Pasir Salak ini kalangan orang yang memerlukan kerana mereka terdiri daripada petani dan pesawah," katanya.
Sementara itu, penerima sumbangan beras, Saadiah Che Ling, 48, berkata, sumbangan itu tiba tepat pada masanya kerana dapat membantu meringankan sedikit sebanyak kos sara hidup keluarganya.
Suri rumah itu berkata, dia dan suami membelanjakan lebih RM200 sebulan untuk keperluan dapur termasuk beras 20 kilogram demi kelangsungan hidup yang dijalani bersama adik dan ibu bapa yang uzur.
"Dalam keluarga, hanya suami yang bekerja, jadi memang baguslah ada yang prihatin beri sumbangan beras, harap dapat diteruskan sekurang-kurangnya sehingga isu bekalan beras ini dapat ditangani," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!