Bukan tidak dipertandingkan tapi calon menang tanpa bertanding

Mohd Amar - Foto Facebook Hariri
Mohd Amar - Foto Facebook Hariri
A
A
A

KOTA BHARU - Pas menjelaskan jawatan naib presiden parti itu bukanlah tidak dipertandingkan pada pemilihan sempena muktamar tahunan Oktober ini, sebaliknya tiga calon menang tanpa bertanding apabila calon keempat menarik diri.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, pada asalnya jawatan itu ada pertandingan melibatkan empat pencalonan.

Katanya, pencalonan yang diterima itu melibatkan tiga penyandang dan seorang lagi calon ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Daripada empat yang dicalonkan itu, bagaimanapun Menteri Besar Kedah menarik diri atas alasan mahu tumpu kepada jawatankuasa Pas sahaja menyebabkan tiga calon yang lain dikira menang tanpa bertanding.

“Ahli yang mencalonkan, jadi serah pada ahli, kami tiada sebarang arahan. Jadi apabila ahli mencalonkan empat sahaja dan seorang tarik diri, tinggal tiga, tiga itulah yang kekal,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan di Istana Balai Besar di sini pada Sabtu.

Mohd Amar berkata, bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu juga atas kehendak ahli mahu mengekalkan penyandangnya.

Perkara tersebut menurutnya, berbeza dengan pemilihan UMNO sebelum ini.

“Memang itu kehendak ahli supaya Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing. Ini juga hasrat ahli, tiada pencalonan lain dibuat bagi kedua-dua jawatan itu.

Artikel Berkaitan:

“Berlainan dengan UMNO yang membuat keputusan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak boleh dipertandingkan, itu keputusan parti. Untuk Pas tak ada larangan, kalau ada pencalonan untuk presiden pun tidak menjadi masalah untuk dipertandingkan,” kata beliau.

Tiga penyandang Naib Presiden Pas tersebut ialah Mohd Amar sendiri, Datuk Idris Ahmad dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!