Johor peruntuk RM78 juta naik taraf infrastruktur lokasi banjir

Mohd Jafni (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival UDA 2023 di Angsana Mall pada Sabtu.
Mohd Jafni (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival UDA 2023 di Angsana Mall pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM78 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja naik taraf infrastruktur di 100 lokasi hotspot banjir melibatkan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerja-kerja naik taraf tersebut turut melibatkan kemudahan infrastruktur dalam usaha pencegahan banjir bagi tempoh jangka masa pendek dan panjang.

“Tahun lepas, kita sudah gerakkan kesemua PBT untuk mengenal pasti lokasi banjir di kawasan mereka, termasuklah kawasan banjir kilat. Jadi, kita peruntukkan RM78 juta untuk ambil langkah-langkah pencegahan.

“Langkah itu termasuklah menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur seperti kawasan longkang, sungai, termasuk kolam takungan.

"Ikut laporan kita, kesemua kerja naik taraf ini selesai dalam tempoh tiga atau empat bulan, namun ada yang mengambil masa lebih lama,” katanya kepada pemberita.

Mohd Jafni berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival UDA 2023 di Angsana Mall di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UDA, Datuk Mohd Salem Kailany.

Untuk rekod, Johor Bahru dikenal pasti sebagai daerah dengan hotspot banjir terbanyak melibatkan 19 lokasi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana syarikat pemaju hartanah untuk membangunkan perumahan mampu milik di negeri ini dengan kos jualan di bawah harga RM300,000 seunit.

Katanya, kerajaan negeri juga mengadakan pertemuan dengan 57 syarikat pemaju dan telah mendapat komitmen pembinaan bagi 14,000 unit kediaman rumah mampu milik di seluruh negeri ini.

“Sebelum ini, pemaju risau kediaman mampu milik ini tidak terjual, tetapi kini mereka tidak perlu bimbang kerana kerajaan negeri akan membantu dari segi pasaran hartanah tersebut.

“Secara keseluruhannya sasaran kita adalah untuk membina sebanyak 30,000 unit kediaman rumah mampu milik menjelang tahun 2026,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!