36,000 pengunjung sertai Karnival Kita OK!
SERAMAI 36,000 pengunjung menyertai Karnival Kita OK! yang menggambarkan semangat negara dalam meraikan komuniti, kreativiti dan perubahan positif anjuran Zurich Malaysia.
Ketua Pemasaran Jenama dan Komunikasi Zurich Malaysia, Erin Hwang berkata, acara tersebut yang diadakan di Pasar Seni, Kuala Lumpur merupakan inisiatif pertama dalam meraikan Kempen Lindungi Segala Perkara Yang Bermakna.
“Peluang menganjurkan karnival ini di salah satu mercu tanda ikonik di Malaysia adalah satu penghormatan besar.
“Kami juga berterima kasih kepada semua yang turut sama menyertai kemeriahan, hiburan dan aktiviti bermakna,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Karnival berkenaan menghimpunkan pelbagai vendor tempatan yang menawarkan pilihan barangan koleksi peribadi, aksesori buatan tangan, pakaian serta snek dan kudapan.
Syarikat insurans tersebut berikrar untuk mendermakan semua yuran sewa vendor yang dikumpulkan iaitu sebanyak RM25,250 untuk sumbangan komuniti yang bermakna.
Selain itu, karnival turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma buat pengunjung yang dijalankan dengan kerjasama Penjagaan Kesihatan Sunway (Sunway Healthcare).
Seramai 100 orang memperoleh manfaat daripada pemeriksaan kesihatan itu yang meliputi bacaan tekanan darah, pemantauan glukosa dan penilaian Indeks Jisim Badan (BMI) yang diselia oleh jururawat.
Karnival Kita OK! dijalankan selama tiga hari pada 22 hingga 24 September lalu dengan beberapa bengkel menarik dan bermanfaat yang mencatatkan 116 pendaftaran, termasuk fotografi, kewangan peribadi, pembuatan minuman daripada campuran tumbuhan, pembangunan kerjaya serta lukisan batik.
Syarikat tersebut juga mengetengahkan proposisi nilai inovatif dan sentrik pelanggan dengan memperkenalkan penyelesaian pelanggan yang dipacu oleh teknologi.
Pengunjung Karnival Kita OK! turut berpeluang mencuba inisiatif perintis dalam kemajuan teknologi kesihatan melalui Binah.ai iaitu pengesan kesihatan yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengukurnya dalam masa nyata melalui kamera pada peranti.
Bukan itu sahaja, sejajar dengan komitmen Zurich Malaysia terhadap masa depan yang lebih hijau, pengunjung juga berpeluang menyertai Bengkel Campuran Tumbuhan (Plant Mixology) yang disampaikan oleh Makan, Pucuk, Akar (Eats, Shoots and Roots).
Dedikasi Zurich Malaysia terhadap usaha pemuliharaan pula tertumpu pada Sesi Perkongsian Pengalaman dan Fotografi Zurich Cares yang menampilkan Tropical Rainforest Conservation & Research Center (TRCRC), sekali gus menekankan komitmen mereka dalam melindungi spesies pokok terancam di Merisuli, Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!