PH seru pengundi Pelangai pulang mengundi

Amirudin (dua dari kiri) pada Ekspo Hartanah Selangor anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor di Central I-City pada Sabtu.
Amirudin (dua dari kiri) pada Ekspo Hartanah Selangor anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor di Central I-City pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) dalam usaha memujuk pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang menetap di ibu kota untuk pulang menunaikan kewajipan mengundi pada 7 Oktober ini.

Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terdapat kira-kira 2,000 pengundi dikenal pasti menetap di Kuala Lumpur.

Menurutnya, penting pengundi keluar pada hari pemilihan bagi mengangkat calon tepat mewakili suara mereka di peringkat kerajaan negeri.

"Di Pelangai, PH bantu sedikit sebanyak untuk kempen dan setakat ini menerima reaksi positif terutama pengundi Felda.

"Sekarang ini tugas kita adalah memastikan pengundi turun terutama yang berada di Kuala Lumpur.

"Ia bagi memastikan Pelangai ada representasi yang baik terutama untuk meneruskan kelangsungan, pembangunan dan kemajuan serta pembelaan rakyat," katanya pada Sabtu.

Beliau ditemui pada Ekspo Hartanah Selangor anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor di Central I-City di sini pada Sabtu.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai diadakan selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Pelangai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam dengan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Sementara itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor ketika ditanya status petisyen pilihan raya bagi empat kerusi di Selangor memaklumkan sedang menunggu maklum balas daripada peguam.

"Soal petisyen ini diserahkan kepada peguam untuk uruskan, sekarang sedang menunggu maklumat lanjut daripada mereka," katanya.

PH dan BN sebelum ini mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil yang memperoleh majoriti kemenangan rendah.

Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!