Kawasan SAR pelancong India diperluas melepasi sempadan Perak

Anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa) menyertai misi SAR pelancong warga India yang memasuki hari keenam pada Sabtu.
Anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa) menyertai misi SAR pelancong warga India yang memasuki hari keenam pada Sabtu.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Kawasan pencarian pelancong warga India, Nanda Suresh Nadkarni, 44, yang dilaporkan hilang di Gunung Jasar, Tanah Rata di sini sejak lebih seminggu lalu diperluaskan hingga melepasi sempadan Perak.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, pihaknya turut memohon bantuan helikopter dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ipoh bagi meninjau kawasan yang sukar diakses pasukan menyelamat.

Sebahagian anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa) dan bomba yang menyertai misi SAR pelancong warga India yang dilaporkan hilang di Gunung Jasar, Tanah Rata sejak lebih seminggu lalu.
Sebahagian anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa) dan bomba yang menyertai misi SAR pelancong warga India yang dilaporkan hilang di Gunung Jasar, Tanah Rata sejak lebih seminggu lalu.

Menurutnya, operasi pencarian hari keenam diteruskan pada Sabtu dengan kekuatan 101 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat dibantu sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Malim Gunung Cameron Highlands dan Kelab Radio Komunikasi dan Rekreasi (RCRC).

"Petugas dari Jabatan Penerangan dan Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands turut ditempatkan di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKPK)," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.

Azri berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan menularkan sebarang maklumat tidak benar di media sosial.

Anggota APM dan bomba melakukan pencarian pelancong warga India yang dilaporkan hilang di Gunung Jasar, Tanah Rata sejak lebih seminggu lalu.
Anggota APM dan bomba melakukan pencarian pelancong warga India yang dilaporkan hilang di Gunung Jasar, Tanah Rata sejak lebih seminggu lalu.

"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, boleh hubungi Bilik Gerakan (DCC) di talian 05-4915999," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pelancong warga India itu dilaporkan hilang sejak 22 September lalu selepas keluar dari hotel penginapan sendirian dipercayai untuk mendaki Gunung Jasar.

Mangsa yang mendaftar masuk hotel berkenaan pada 19 September sepatutnya mendaftar keluar pada 24 September lalu.

Bagaimanapun sehingga jam 12 tengah hari pada hari tersebut, mangsa didapati tidak mendaftar keluar.

Kehilangan mangsa kemudiannya dilaporkan kepada polis sebelum operasi SAR melibatkan pelbagai agensi digerakkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!