Generasi Felda disaran rebut peluang bina kerjaya melalui TVET
BENTONG - Generasi muda Felda seharusnya merebut 50,000 tempat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang disediakan kerajaan.
Ini kerana TVET menyediakan kemahiran dan latihan yang diperlukan dalam kerjaya berasaskan kemahiran.
Anak jati Pahang, Ahmad Daniel Haqimiey Ahmad Rajula, 20, yang sedang mengikuti pengajian bidang kimpalan di sebuah institusi TVET di Perak berkata, dia mengikuti kursus berkenaan, kerana melihat potensi kerjaya dalam bidang tersebut pada masa depan.
"Saya memang minat dalam bidang ini, tidak rugi kerana ia memberi pendedahan dalam bidang kimpalan, yang saya lihat kerjaya ini sering mempunyai permintaan.
"Bila kerajaan bagi peluang macam ini kepada warga Felda, saya harap kawan-kawan yang lain rebut kemudahan ini... ia merupakan peluang kita meningkatkan taraf hidup, sekali gus dapat membantu keluarga,” katanya ketika ditemui di Felda Chemomoi pada Sabtu.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu berkata, sebanyak 50,000 tempat, disediakan kepada generasi muda Felda untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, peluang itu ditawarkan di lebih 1,300 institusi TVET kepada generasi kedua hingga kelima tanah rancangan, dengan kursus disediakan bersesuaian dengan kehendak guna tenaga negara.
Bagi generasi kedua Felda Chemomoi Wan Nur Alisa Meor Ismail, 24, yang juga peniaga berkata, langkah proaktif kerajaan itu, merupakan inisiatif yang baik dan boleh dimanfaatkan sebaiknya oleh golongan muda sepertinya.
Ibu kepada seorang anak itu berpendapat, dengan melengkapkan diri dengan kemahiran yang ditawarkan, ia dilihat dapat meningkatkan ilmu dalam bidang tertentu sekali gus memudahkan golongan berkenaan mendapat pekerjaan atau membuka perniagaan sendiri.
"Saya rasa lebih baik ceburi TVET, kerana secara tidak langsung kita dapat tambah ilmu kemahiran dalam bidang pekerjaan, sama ada untuk bekerja dengan orang lain atau bekerja sendiri,” katanya.
Sementara itu, anak peneroka, Z Rosmizam Abdul Rahman, 44, berkata, adalah satu kerugian bagi anak muda Felda, sekiranya tidak melibatkan diri dengan TVET selepas kerajaan memberi ‘keistimewaan’ bagi golongan itu.
Beliau turut mencadangkan supaya institusi TVET diwujudkan di Pelangai, bagi memudahkan penduduk kawasan itu mengambil bidang kemahiran.
"Sekarang pun saya tengok ada anak muda yang baiki motosikal sendiri dan lebih elok kalau golongan ini melanjutkan pengajian dalam TVET, supaya mereka lebih mahir...sekiranya masih muda, peluang yang diberikan kerajaan ini tidak akan saya lepaskan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!