Rasa tak sedap hati jadi kenyataan, rakan baik maut ditikam suami

Rosima menunjukkan gambar kenangan bersama arwah rakan baiknya.
Rosima menunjukkan gambar kenangan bersama arwah rakan baiknya.
A
A
A

ALOR SETAR - Rasa tidak sedap hati seorang wanita terjawab apabila rakan baiknya maut dipercayai ditikam suami sendiri akibat cemburu di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu di sini, pada pagi Sabtu.

Rosima Dollah, 31, berkata, dia berasa tidak sedap hati apabila berkomunikasi kali terakhir dengan rakannya, Munira Abu Bakar, 31, pada Jumaat.

"Saya rasa pelik apabila dia tidak komen status WhatsApp seperti kebiasaan, selain memaklumkan tidak akan aktif dalam acara larian lagi selepas ini.

"Dia juga maklumkan agak tertekan ketika ini," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, pada Sabtu.

Bagaimanapun, kata Rosima, dia terkejut apabila menerima khabar bahawa rakan baik yang dikenali selama 18 tahun itu telah meninggal dunia akibat dibunuh.

Rosima ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik HSB.
Rosima ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik HSB.

Ujarnya, dia sering membaca mengenai kes pembunuhan seumpama itu, namun tidak menyangka kejadian terbabit akan menimpa rakan baiknya.

Katanya, dia dengan seorang lagi rakan mereka digelar Along berkawan baik dengan mangsa sejak belajar bersama di Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Puan Muda Tengku Fauziah.

Artikel Berkaitan:

Rosima menyifatkan, rakan baiknya dipanggil Angah itu merupakan seorang yang lemah lembut dan baik, malah sering menasihati dirinya.

"Dia selalu bagi nasihat, antaranya jangan buat benda yang tidak elok. Kami akan ambil nasihat dia sebagai contoh," katanya.

Rakan sekelas mangsa, Ifa Adah Sapri, 31, berkata, dia belajar bersama mangsa di Kolej Kejururawatan Masyarakat Kangar pada 2011.

Menurut Ifa, kejadian itu sangat mengejutkan kerana mangsa sememangnya dikenali sebagai seorang rakan yang baik dan lemah lembut.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pesara tentera menyerah diri di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis selepas menikam isterinya hingga maut dipercayai akibat cemburu di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu di sini pada pagi Sabtu.

Mangsa berusia 31 tahun merupakan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar meninggal dunia selepas ditikam dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berusia 38 tahun dipercayai mengesyaki isterinya itu berlaku curang dan dipercayai bergaduh dengan mangsa di ruang tamu rumah semasa mangsa mahu keluar bekerja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!