'Saya minta tunggu sebentar, bukan batal tempahan'

Mesej yang diterima daripada syarikat pengendali. Gambar kanan: Perkongsian Ahmad Dhia tentang dilema yang dihadapinya.
Mesej yang diterima daripada syarikat pengendali. Gambar kanan: Perkongsian Ahmad Dhia tentang dilema yang dihadapinya.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pemandu e-hailing berada dalam dilema setelah diturunkan keutamaan oleh syarikat pengendali, gara-gara didakwa meminta penumpang membatalkan tempahan.

Dalam satu perkongsian di Facebook, Ahmad Dhia Danish Shamsolbahri, 22, berkata, ia memberikan kesan kepada jumlah tempahan yang diterima, sehingga pendapatannya terjejas sepanjang tempoh dua minggu 'hukuman' itu dikenakan.

Menurutnya, mesej yang diterima daripada syarikat pengendali e-hailing itu menyatakan dia telah meminta penumpang untuk membatalkan tempahan antara 11 hingga 17 September lalu.

Bagaimanapun, dia menghubungi bahagian khidmat pelanggan syarikat itu bagi memberikan penjelasan.

"Saya cuba untuk jelaskan bahawa saya tak minta pun kesemua itu (batal tempahan). Apa yang saya cakap hanyalah 'boleh tunggu sebentar kerana jalan sesak dan sebagainya'.

"Tujuan saya beritahu adalah untuk mengelakkan pelanggan batalkan tempahan kerana saya dah nak sampai. Itu sahaja.

"Saya tidak berpuas hati kerana telah dianiaya begini. Pegawai mereka (perkhidmatan pelanggan) pun mengatakan tidak boleh tolong disebabkan ini berkaitan sistem. Saya harungi tempoh seminggu penurunan keutamaan dengan bergaji sehari dengan satu atau dua tempahan sahaja, ada hari tiada langsung," dakwanya.

Tambah Ahmad Dhia, apa yang membuatkannya terkilan adalah tempoh penurunan keutamaan yang disangkanya hanya seminggu, sebaliknya dua minggu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, syarikat pengendali sepatutnya memberikan keadilan kepada pemandu yang tidak bersalah.

"Saya mohon pada sesiapa yang senasib untuk bersatu bangkitkan masalah ini bersama," jelasnya.

Sementara itu, berdasarkan mesej daripada syarikat e-hailing berkenaan, peringatan diberikan bahawa meminta atau memaksa membatalkan tempahan adalah satu bentuk pelanggaran Kod Tatalaku.

Kesalahan berulang boleh menyebabkan juga tempoh penurunan keutamaan dipanjangkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!