Cabaran getir ekonomi domestik tidak seteruk 2020

Gambar hiasan. Gambar kecil: BARJOYAI
Gambar hiasan. Gambar kecil: BARJOYAI
A
A
A

SHAH ALAM - Aliran tunai domestik bakal berdepan cabaran getir tahun depan, namun dijangka tidak seteruk situasi ketika pandemik Covid-19 pada 2020.

Penganalisis Ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, tiga sentimen akan mempengaruhi prestasi ekonomi dalam negara iaitu pasaran, keyakinan dan persepsi pengguna.

“Ia akan beri kesan sekiranya pengguna membuat keputusan berjimat dan mengetatkan perbelanjaan. Negara bergantung kepada penggunaan isi rumah bagi menjana pertumbuhan jangka pendek.

“Tentunya kita melihat negara tidak akan mengalami krisis sehingga menutup ekonomi, kerana masih ada harapan untuk ‘bernafas’ jika terus dibuka.

“Tetapi cabaran yang lebih besar tetap ada,” katanya kepada Sinar Ahad.

Terdahulu, Sinar Harian pada Rabu melaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) menjangkakan ekonomi Malaysia terus sederhana dalam tempoh terdekat berdasarkan data pada Julai dan Ogos.

Menurut data DoSM, ekonomi negara menunjukkan pertumbuhan sederhana dengan perkembangan 4.2 peratus pada separuh pertama 2023.

Barjoyai menjelaskan, margin untung atau kos operasi adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian untuk mempertahankan kemajuan perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkara yang akan membunuh perniagaan adalah kos operasi sekiranya perbelanjaan digunakan melebihi had setiap bulan.

“Untuk memastikan situasi ini tidak berlaku, peniaga perlu memastikan perniagaan yang dijalankan adalah berdaya maju dan mampan seperti industri keselamatan makanan kerana potensi dan margin untungnya adalah besar.

“Jika mahu memulakan perniagaan, mereka perlu menyelidik dan memastikan kos operasi rendah.

“Misalnya, menjalankan perniagaan dalam talian dalam kalangan peniaga tempatan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!