Festival Kembara Warisan Bangsa martabat seni, budaya

Festival Kembara Warisan Bangsa 2023 mengenengahkan persembahan rakyat bercirikan seni tari muzikal tradisional.
Festival Kembara Warisan Bangsa 2023 mengenengahkan persembahan rakyat bercirikan seni tari muzikal tradisional.
A
A
A

SHAH ALAM - Demi memartabatkan seni dan budaya bangsa Malaysia, Persatuan Cinta Seni Budaya (Persidaya) dan Persatuan Legasi Cinta Seni menganjurkan Festival Kembara Warisan Bangsa 2023.

Bertemakan ‘Ini Warisan Kita’, festival kesenian yang dikelolakan oleh Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) itu bakal mengenengahkan pelbagai persembahan rakyat antaranya teater muzikal yang menggabung seni tari dengan alunan muzik tradisional.

Penyelarasnya, Nik Affieza Nik Arif berkata, program yang bakal diadakan pada 14 Oktober ini bertempat di Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 akan bermula seawal jam 8 pagi.

“Ia dimulakan dengan tarian zumba (senamrobik) diikuti pertandingan mewarna kanak-kanak, permainan tradisional serta aktiviti jualan di khemah pameran,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, tiada sebarang bayaran penyertaan dikenakan sebaliknya pemenang akan menerima hadiah wang tunai manakala cenderahati juga diberikan kepada pengunjung bertuah.

“Pendaftaran akan dibuka seawal jam 7 pagi dengan 50 orang pendaftar awal akan diberikan baju T khas festival secara percuma.

“Festival anjuran bersama Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN), Kumpulan Karangkraf, Sinar Harian, Kelab Bahasa dan Budaya (UniKL-MIAT) ini turut disokong oleh Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Pelancongan Seni Dan Budaya,” ujarnya.

Nik Affieza berkata, acara kemuncak festival bermula jam 9 malam, dengan pementasan Teater Mak Yong mengisahkan Raja Nilam Agong yang ingin mengembara ke seluruh negara di bawah jajahan takluknya bagi mengenali seni dan budaya rakyat jelata.

Artikel Berkaitan:

“Dalam pengembaraan tersebut Raja Nilam Agong telah melihat pelbagai persembahan rakyat seperti Tarian Sabah, Tarian Sarawak, Gendang Urumee Meelam, Gendang Cina, Tarian Sewang, Tarian Jo’oh dan Menora,” ujarnya.

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut hubungi Nik Affieza 017-239 9549 atau e-mel admin@mysinar.org.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!