Syed Saddiq terjah pasar raya, kedai 'cari' beras, minyak peket

Tangkap layar di video TikTok ketika Syed Saddiq melakukan pemeriksaan bersama anggota penguat kuasa KPDN.
Tangkap layar di video TikTok ketika Syed Saddiq melakukan pemeriksaan bersama anggota penguat kuasa KPDN.
A
A
A

MUAR - Isu bekalan beras tempatan, gula dan minyak peket bersubsidi tidak mencukupi di pasaran mendorong Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melakukan pemeriksaan di empat buah pasar raya dan kedai di kawasan Parlimennya.

Menerusi video berdurasi 1 minit 27 saat dimuat naik di Facebook rasminya, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu melakukan pemeriksaan bersama anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Dalam rakaman video, Syed Saddiq bertanya peruncit mengenai minyak masak peket bersubsidi dan menggesa bekalan tersebut diletakkan untuk dibeli pengguna.

Selain itu, Syed Saddiq turut bertanya mengenai bekalan beras tempatan yang kemudiannya diberitahu bekalan sampai 'sikit- sikit' dan kali terakhir bekalan 'ada' pada bulan lepas.

"Bekalan memang tak mencukupi, satu bulan rakyat tunggu. Kalau yang dah dibekalkan, jangan sembunyikan. Kesian rakyat teruk terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

"Pembekalan beras tempatan, minyak peket dan gula kasar perlu diperbaiki. 'Triple threat' jika beras, gula dan minyak masak naik harga, rakyat sengsara," tulisnya.

Syed Saddiq turut memberitahu akan mengutus surat kepada menteri terlibat untuk mengadakan Jualan Rahmah di Parlimen Muar sebagai penyelesaian jangka pendek.

Bagaimanapun, beliau dimaklumkan Jualan Rahmah diadakan di Tangkak yang berada di luar Parlimen Muar selain lokasinya yang agak jauh.

Artikel Berkaitan:

"Cuma masalahnya Jualan Rahmah ni, dia sangat jauh, orang suka pergi ke pasar raya kerana berdekatan dengan rumah.

"Jualan ni, nak-nak Muar ini panjang. Saya dimaklumkan ia diadakan di Tangkak. Tangkak ini luar Parlimen Muar. Kalau orang Sungai Balang nak pergi tangkak dia boleh makan masa sejam, ada yg sejam setengah.

"Jadi orang 'bakar' minyak atau duit pengangkutan itu sudah lagi mahal daripada kos subsidinya. Sebab itu tidak adil untuk kita hanya menyukat menggunakan Jualan Rahmah kerana orang nak beras atau minyak peket ni ada di pasar raya yang lebih dekat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!