126 daripada 827 motosikal disita ditunggang warga asing

Penguatkuasa JPJ melaksanakan Ops Khas Motosikal.
Penguatkuasa JPJ melaksanakan Ops Khas Motosikal.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 8,123 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang Ops Khas Motosikal yang dilaksanakan sejak 1 September hingga Sabtu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Mohd Hanif Yusabra Yusuf berkata, sebanyak 28,586 motosikal telah diperiksa dan 827 daripadanya telah disita.

"Motosikal itu disita atas kesalahan seperti tiada Lesen Memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan juga tiada insurans serta pengubahsuaian yang ekstrem.

"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 126 motosikal yang ditunggang oleh warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, sebanyak 11 buah motosikal yang disita juga turut dirujuk kepada Jabatan Kimia Malaysia kerana disyaki ada gangguan pada nombor casis dan nombor enjin.

Ujarnya, Jabatan Kimia akan menjalankan ujian forensik dan pengecaman semula nombor casis dan enjin bagi membolehkan JPJ mengenal pasti identiti sebenar motosikal berkenaan untuk tindakan lanjut.

Selain itu katanya, secara keseluruhan sebanyak 2,489 saman dikeluarkan bagi kesalahan tiada lesen memandu dan 1,805 saman tiada insurans.

"Sebanyak 1,023 kesalahan teknikal kenderaan, 40 kesalahan memandu di bawah umur 16 tahun dan selebihnya adalah lain-lain kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Ibu bapa dinasihatkan mengambil perhatian berhubung anak-anak berumur bawah 16 tahun menunggang motosikal kerana mereka belum layak untuk menunggang motosikal dan boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain," katanya.

Mohd Hanif berkata, berdasarkan statistik, penunggang berusia antara 17 hingga 25 tahun paling banyak melakukan kesalahan iaitu 2,635 kes dan diikuti berusia 26 hingga 35 tahun iaitu 2,378 kes.

Katanya, pihaknya secara berterusan akan melaksanakan advokasi terhadap penunggang motosikal bagi memberi kesedaran berkaitan keselamatan semasa di jalan raya.

"Bagaimanapun tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan sebagai pengajaran agar mereka tidak melakukan kesalahan secara berterusan.

"Penunggang motosikal yang bergerak secara berkumpulan juga dinasihatkan agar tidak menghalang pergerakan kenderaan lain sepanjang perjalanan,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!