Bukan aksi terbaik City
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukannya menghadapi kesukaran ketika tewas 1-2 kepada Wolverhampton Wanderes dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
City ketinggalan pada separuh masa pertama menerusi jaringan sendiri Ruben Dias sebelum Julian Alvarez menyamakan kedudukan pada minit ke-58.
Namun, gol itu tidak bertahan lama apabila Hwang Hee-chan kembali meletakkan Wolves di hadapan lapan minit kemudian sekali gus menyaksikan Wolves menghentikan permulaan sempurna City selepas enam kemenangan berturut-turut mereka.
Guardiola menyalahkan para pemainnya yang gagal untuk memanfaatkan peluang dan menangani kepantasan pemain Wolves.
“Tahniah Wolves, mereka berhak mendapat kemenangan. Kami mempunyai peluang dan bergelut untuk menangani permainan serta lawan bermain dengan sangat baik.
“Kami beraksi bukan di tahap kami dan lawan lebih pantas. Kami perlu menerimanya,” katanya.
Guardiola turut menjelaskan ketiadaan beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan turut memberikan kesan.
"Bernardo Silva dan John Stones tidak lama lagi akan kembali dan kami akan melihat berapa ramai pemain yang kami ada untuk Liga Juara-Juara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!