Kejadian wanita terjun kenderaan e-hailing cuma salah faham
SHAH ALAM - Pemandu e-hailing yang dipercayai terlibat dalam kejadian seorang wanita terjun dari kenderaan yang dinaikinya di Jalan Temasya Glenmarie, Rabu lalu disahkan orang kurang upaya (OKU) pendengaran.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan dijalankan turut mendapati berlaku salah faham berkaitan kejadian tersebut.
"Hasil siasatan mendapati suspek berumur 26 tahun itu merupakan seorang pemandu e-Hailing yang sah dan mengalami masalah pendengaran.
"Suspek mendakwa tersalah jalan disebabkan masih baru dan cuba membuat pusingan U di Jalan Temasya, masa sama mangsa telah membuka pintu kereta sebelum keluar dari kenderaannya," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, suspek kemudian meneruskan perjalanan kerana ada permintaan pelanggan lain.
"Kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana kejadian ini lebih kepada salah faham.
"Mangsa telah menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini setelah mengetahui kejadian sebenar," katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terburu-buru untuk mengeluarkan kenyataan khususnya menerusi media massa bagi mengelakkan berita tidak benar.
Pada Sabtu, tular di media sosial berkaitan kejadian melibatkan seorang wanita mendakwa dilarikan pemandu e-hailing.
Kejadian tersebut dipercayai dikongsikan seorang individu mendakwa kejadian berlaku melibatkan pekerjanya yang ketika itu dalam perjalanan ke tempat acara di Glenmarie, di sini.
Wanita tersebut mendakwa pekerjanya itu menghubunginya meminta bantuan selepas terjun dari kereta berkenaan untuk menyelamatkan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!