198 ditahan terlibat judi dalam talian, loteri haram

Anggota polis melakukan pemeriksaan di premis disyaki terlibat kegiatan judi dalam talian dan loteri haram selain merampas telefon bimbit pelbagai jenama, pencetak serta wang tunai dalam Op Dadu dilakukan di seluruh Johor.
Anggota polis melakukan pemeriksaan di premis disyaki terlibat kegiatan judi dalam talian dan loteri haram selain merampas telefon bimbit pelbagai jenama, pencetak serta wang tunai dalam Op Dadu dilakukan di seluruh Johor.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Polis menahan 27 warga tempatan dan asing menerusi tujuh serbuan secara berasingan dalam Op Dadu Khas di 18 premis sekitar negeri ini pada Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan itu terdiri daripada 23 lelaki dan tiga wanita tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 19 sehingga 64 tahun.

"Menerusi operasi tersebut yang menyasarkan kegiatan judi dalam talian dan loteri tanpa lesen secara serentak itu, pihak polis turut merampas 27 unit telefon bimbit pelbagai jenama; 18 pencetak bergerak dan wang tunai RM4,070," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau memberitahu, operasi tersebut sudah bermula sejak 22 September sehingga Jumaat dan secara keseluruhan sebanyak 171 premis diperiksa sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, dalam tempoh itu juga seramai 198 individu ditahan terdiri daripada 162 lelaki dan 36 wanita dengan pecahan 24 warga tempatan manakala 174 lagi warga asing.

Pecahan jantina pula ujar beliau, melibatkan 150 lelaki tempatan; 12 lelaki asing; 24 wanita tempatan dan 12 wanita asing berusia lingkungan 18 sehingga 66 tahun.



"Menerusi operasi dalam tempoh tersebut kita merampas 208 unit telefon bimbit pelbagai jenama; 76 pencetak dan wang tunai RM39,123. Semua premis terbabit sedang dalam proses pembatalan lesen dan pemotongan bekalan elektrik.

"Kita hanya menunggu kelulusan berbuat demikian daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan dibawa ke mahkamah untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 4(A)(a) dan 4B(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 dan penjara tiga tahun.

Menurutnya, kejayaan operasi tersebut adalah hasil maklumat dan risikan pihak polis termasuk aduan orang awam.
Artikel Berkaitan:


"Operasi ini dijalankan bagi membanteras kegiatan tersebut yang bertujuan memberi impak kepada penganjur dan memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa tindakan pembanterasan dijalankan secara berterusan di premis-premis terlibat," katanya.

Kamarul Zaman meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan tersebut supaya menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau bilik gerakan polis Johor menerusi talian 07-2212999 atau 07-225 4677.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!