Tiada pembangkang: Sultan Terengganu saran cari model pentadbiran terbaik
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu perlu mencari kaedah dan model terbaik dalam sistem pentadbiran agar lebih telus dan efisien dalam membuat sebarang keputusan yang bakal dilaksanakan demi kepentingan negeri dan rakyat.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abdin bertitah, ia berikutan keputusan pilihan raya negeri (PRN) lalu yang menyaksikan Terengganu satu-satunya negeri yang tidak mempunyai blok pembangkang dalam kerajaan.
"Keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini telah menyaksikan keputusan rakyat telah memilih kerajaan beta tanpa adanya pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penggal ini.
"Situasi ini berlaku di dalam tempoh sambutan 25 tahun Jubli Perak pemerintahan beta dan melakarkan lembaran sejarah baharu era milenium ketiga bagi negara Malaysia dan negeri Terengganu khasnya.
"Oleh yang demikian, melalui doktrin pengasingan kuasa yang merupakan pembahagian di dalam amalan demokrasi iaitu kuasa eksekutif, legislatif serta judisiari menjadi semak dan imbang yang efektif bagi kerajaan beta walaupun pemusatan kuasa kini sepenuhnya oleh pihak kerajaan," titahnya.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, di sini, pada Ahad.
Titah baginda, disiplin serta cabang ilmu pentadbiran yang teratur dan berkesan dapat dipastikan dengan cara kolaborasi menyeluruh di semua peringkat badan-badan kerajaan yang berkepentingan agar keputusan yang dibuat secara cekap dan tepat.
"Di Malaysia, system simple plurality atau First Past the Post (FPTP) telah diguna pakai sehingga ke hari ini.
"Beta percaya dan yakin dengan rules of law di negara Malaysia serta prinsip Rukun Negara yang keempat iaitu Kedaulatan Undang-Undang berjalan dengan baik, adil serta saksama kepada semua strata sosial di dalam masyarakat," titahnya.
Dalam pada itu, Sultan Mizan merakam kesyukuran kerana PRN lalu diadakan dalam suasana aman dan harmoni dengan mendokong semangat demokrasi.
"Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada semua Ahli Yang Berhormat sekalian kerana telah terpilih sebagai wakil rakyat. la merupakan suatu amanah yang perlu dipikul untuk berkhidmat, berbakti dan membela nasib rakyat beta," titah baginda.
PRN yang berlangsung pada 12 Ogos lalu menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah politik baharu, DUN Terengganu tidak mempunyai pembangkang selepas Perikatan Nasional (PN) berjaya menyapu bersih kesemua 32 kerusi yang dipertandingkan.
PN yang bertanding menggunakan logo Pas bukan sahaja menang di semua kerusi ditandingi, malah turut merekodkan kemenangan dengan majoriti lebih tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!