Bas bawa lapan penumpang terbakar
PETALING JAYA - Lapan penumpang menempuh detik cemas apabila bas dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di Jalan Tandang di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 11.17 pagi berkaitan kejadian.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Pencala dengan kekuatan seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan seterusnya menjalankan kerja memadamkan kebakaran.
"Kebakaran melibatkan sebuah bas yang mengalami peratusan kebakaran sebanyak 90 peratus," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, bas tersebut dipercayai membawa penumpang ketika kejadian.
"Bagaimanapun pemandu bas bersama lapan penumpang berjaya keluar daripada bas tersebut untuk menyelamatkan diri.
"Kejadian dipercayai tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa," katanya.
Menurutnya, setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!